All News

KUNJUNGAN HORMAT SOL KE LADA JALIN KERJASAMA STRATEGIK

LANGKAWI, 17 Disember 2024: Delegasi Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), yang diketuai oleh Dekan, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab telah mengadakan kunjungan hormat ke Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA).

Turut menyertai delegasi ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain; Pengarah Pusat Penyelidikan Undang-Undang dan Keadilan (LJRC), Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman dan Pensyarah Kanan, Dr. Muhammad Nazrul Abd Rani.

WhatsApp Image 2024 12 16 at 10.13.22 AM 1

Delegasi SOL disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, bersama Timbalan Ketua Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin serta pegawai-pegawai dari Unit Undang-Undang LADA.

Dr. Harlida berkata, kunjungan ini bertujuan untuk menjalinkan kerjasama strategik antara SOL UUM dan LADA, khususnya dalam penyelidikan dan latihan berkaitan undang-undang dan tadbir urus pelancongan lestari, pengurusan sosioekonomi, dan kajian impak sosial.

Selain itu, menurutnya, perbincangan turut menumpukan kepada inisiatif pembangunan komuniti serta usaha memperkasakan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

“Lawatan ini merupakan langkah penting untuk menjalin kerjasama kukuh yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

WhatsApp Image 2024 12 16 at 10.13.21 AM 1

“Kami amat menghargai sambutan mesra daripada pihak LADA dan berharap kolaborasi ini mampu menghasilkan impak besar kepada pembangunan komuniti serta kelestarian Langkawi,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Haslina menyatakan komitmen LADA dalam menyokong inisiatif akademik Pusat Pengajian Undang-Undang UUM, terutamanya bagi melaksanakan projek penyelidikan dan pembangunan yang berupaya meningkatkan daya saing Langkawi sebagai pusat pelancongan dan pembangunan ekonomi.

Lawatan ini diakhiri dengan sesi fotografi dan penyerahan cenderamata sebagai tanda penghargaan serta simbol hubungan erat antara UUM dan LADA.

Usaha ini mencerminkan komitmen SOL UUM untuk terus aktif membina rangkaian strategik dengan pihak berkepentingan demi menyokong aspirasi pembangunan negara. – Dr. Muhammad Nazrul Abd Rani