All News

SOL HULUR SUMBANGAN TANDA SOLIDARITI PELAJAR TERKESAN BANJIR

SINTOK, 8 Disember 2024: Prihatin dengan keadaan mangsa banjir yang melanda baru-baru ini, Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan majlis penyerahan sumbangan kepada pelajar UUM yang terkesan.

Inisiatif ini bertujuan untuk membantu dalam meringankan beban pelajar serta keluarga yang menghadapi cabaran pascabanjir.

Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab telah membuat penyerahan tersebut kepada Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohamad Amar Aidid Mohd Zain, wakil dari MPP SOIS Muhammad Zahid Ahmad Termizi dan wakil Persatuan Mahasiswa Undang-Undang, Saudari Nurul Qistina Balqis Radzuan.

Dr. Harlida turut melahirkan penghargaan kepada staf pusat pengajian yang sentiasa memberi komitmen dalam membantu dan menyokong pelajar yang terjejas selain menghargai usaha serta kerjasama MPP dan persatuan dalam mengenal pasti pelajar serta bentuk bantuan yang diperlukan.

“Ini merupakan tanggungjawab kita bersama untuk memastikan kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan, terutamanya ketika menghadapi dugaan seperti bencana banjir.

“Sumbangan yang diberikan merangkumi keperluan asas seperti makanan, selain peralatan pembersihan kediaman. Bantuan ini sedikit sebanyak diharap dapat menampung keperluan, juga meringankan beban mereka akibat banjir,” katanya.

Di samping memperkukuh hubungan antara MPP, pelajar dan pihak pengurusan SOL, majlis ini juga menjadi platform bagi menzahirkan solidariti dan sokongan moral kepada mereka yang terkesan,

Adalah diharapkan agar dugaan ini dapat diharungi dengan penuh cekal dan semoga kehidupan mangsa pascabanjir akan kembali pulih seperti sedia kala. Dengan inisiatif ini juga, SOL berharap pelajar yang terkesan dapat bangkit semula dan fokus kepada pembelajaran mereka. – Shaidah Shaari