UUM ONLINE: Pulau Pinang - Pusat Pengajian Undang-undang (SoL) telah menganjurkan Bengkel ‘Strengthening and Developing School of Law 2025′ bertempat di Hompton by The Beach.
Bengkel selama tiga hari yang berlangsung dari 28 hingga 30 November itu merupakan usaha untuk menilai prestasi SoL bagi tahun 2024, seterusnya merancang hala tuju strategik bagi tahun 2025.
Bengkel ini mensasarkan penglibatan semua staf akademik pusat pengajian untuk sama-sama hadir bagi menyumbang idea, kepakaran dan buah fikiran bagi merangka aktiviti, di samping memantapkan lagi prestasi pada tahun hadapan.
Seramai 31 staf akademik telah terlibat selain daripada sembilan staf pentadbiran bertindak sebagai urusetia bagi memastikan kelancaran program.
Dalam ucapan pembukaan, Dekan SoL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab menekankan objektif utama bengkel iaitu sebagai sebahagian daripada aktiviti retreat bagi mencari kesepakatan dan membina pasukan ke arah matlamat yang lebih cemerlang, melakukan semakan terhadap prestasi lalu bagi merangka kecemerlangan masa hadapan, selain daripada pentingnya membina kejelekitan sosial dalam kalangan staf pusat pengajian.
Beliau turut menggariskan keperluan untuk mencari kesepakatan serta memperkukuh pasukan sebagai langkah penting ke arah mencapai kecemerlangan bersama.
“Kejelekitan sosial antara rakan sekerja adalah asas yang akan memperkuatkan perpaduan serta mewujudkan keharmonian sebagai satu pasukan.
“Kita perlu mencari titik persamaan dan membina pasukan ke arah mencapai matlamat yang lebih cemerlang,” katanya.
Seperti yang dihasratkan dan bagi tujuan perbincangan lanjut, staf akademik SoL dibahagikan kepada beberapa kumpulan bertujuan mengkaji prestasi semasa pusat pengajian pada tahun 2024 di mana penilaian adalah berasaskan kepada keberhasilan pencapaian strategik yang telah direncanakan.
Selain itu, buah fikiran dan perancangan bagi tujuan penambahbaikan serta hala tuju pagi tahun 2025 turut dibincangkan bersama dengan memfokus kepada aspek kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi, kecekapan operasi, di samping kolaborasi strategik dalam menyokong pembangunan institusi dan pelajar.
Kejayaan program ini mencerminkan komitmen Pusat Pengajian Undang-undang dalam usaha memperkukuh kualiti pendidikan, kecekapan pengurusan dan perpaduan organisasi.
Bengkel tersebut turut berjaya menghasilkan kerangka pelan tindakan serta inisiatif baharu yang diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan serta kelestarian pusat pengajian pada masa hadapan. – Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman