UUM ONLINE: Sempena sambutan 40 tahun Universiti Utara Malaysia, Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) turut berasa bangga untuk meraikannya dengan menganjurkan ‘School of Law Week 2024’ yang telah berlangsung selama 6 hari bermula 25 Mei lalu.
Di samping itu, School of Law Week 2024 turut meraikan ulang tahun ke-20 program Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian (LL.B Hons.) dan ulang tahun ke-10 Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan dengan Kepujian (BPLB Hons.).
Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, School of Law Week 2024 melibatkan pelbagai agensi dan individu yang pakar dalam bidang undang-undang untuk berkongsi ilmu mereka dengan pelajar, staf akademik dan warga UUM serta komuniti. Antaranya, Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Selain itu, syarahan umum oleh tokoh terkemuka dalam bidang korporat iaitu Dato’ Charon Wardini Mokhzani dalam program ‘Up-Close Session with Dato’ Charon Wardini Mokhzani’ bersama-sama pelajar BPLB dan warga SOL.
Dato’ Charon merupakan graduan lulusan Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford di England, salah satu universiti terbaik di dunia. Beliau juga telah menyandang jawatan tertinggi dalam dunia korporat termasuk sebagai Pengerusi di EXIM Bank.
Turut diadakan Honorary Law Lecture oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia, Yang Arif Dato’ Sri Hasnah Mohammed Hashim.
Di samping itu, UUM sekali lagi melakar sejarah apabila menjadi universiti awam pertama yang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Peguam Negara. MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, manakala Peguam Negara Malaysia, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mewakili Jabatan Peguam Negara.
Ahmad Terrirudin berkata, inisiatif ini akan menjadi pemangkin kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha untuk meneroka peluang baharu bagi memartabatkan agenda pendidikan dan pembangunan modal insan.
Sesi perkongsian daripada Alumni Pusat Pengajian Undang-Undang UUM juga turut menjadi sebahagian program bagi memotivasikan pelajar tentang kebolehpasaran graduan.
SOL berhasrat jaringan hubungan yang baik yang melibatkan pelbagai individu dan agensi dapat dibina. Program-program seperti ini akan dapat menyuntik semangat kepada pelajar untuk terus melangkah dan membina perkembangan kerjaya pada masa hadapan.