All News

MAHASISWA UNDANG-UNDANG PERLU KUASAI UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA

pageLL

Sintok, 4 Mac – Dunia pada hari ini sedang menghadapi pelbagai konflik kemanusiaan yang sedikit sebanyak membelakangkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Ini termasuklah konflik mutakhir yang terjadi di Palestin, yang telahpun mengorbankan ribuan nyawa yang tidak berdosa.

Hakim Mahkamah Rayuan, Mahkamah Rayuan Malaysia, Dato’ Hashim Hamzah berkata, undang-undang kemanusiaan antarabangsa sudah lama wujud, malah diguna pakai sejak daripada era kerajaan kuno lagi.

“Semangat di sebalik undang-undang ini adalah untuk memastikan bahawa, segala perkara termasuklah peperangan adalah tertakluk kepada prinsip undang-undang serta adat dalam erti kata lain, dalam peperangan pun ada batasan kemanusiaannya.

“Prinsip undang-undang kuno ini mula dikumpulkan secara strategik bermula pada abad ke-19 yang kemudiannya menyaksikan beberapa undang-undang kemanusiaan antarabangsa digubal di peringkat antarabangsa, termasuklah yang paling utama Konvensyen Geneva 1949 yang diterima pakai oleh hampir kesemua negara di dunia,” ucapnya pada Majlis Perasmian Penutupan Harun M. Hashim National Client Consultation Competition 2024 (NCCC 2024) di EDC-UUM, malam tadi.

Beliau menyifatkan, pertandingan yang bertemakan undang-undang kemanusiaan antarabangsa ini bukan sahaja mampu membina kemahiran asas yang penting untuk bakal graduan undang-undang seperti kemahiran komunikasi dan interpersonal, malah turut memberikan sedikit gambaran mengenai kepentingan untuk memahami isu undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang dihadapi oleh dunia pada hari ini.

Ujarnya, pemenang pertandingan pada edisi ini berpeluang untuk mewakili Malaysia di dalam ‘The Brown Mosten International Client Consultation Competition’ yang bakal diadakan di John Paul II Catholic University di Lublin, Poland pada 10 hingga 13 April 2024.

“Buat pemenang, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan dan selamat maju jaya dalam mewakili negara di pertandingan yang bakal diadakan di Poland kelak,” katanya.

Manakala, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Pusat Pengajian Undang-undang, Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah berkata, dalam konteks industri perundangan, kemahiran untuk mengendalikan konsultasi klien merupakan salah satu kemahiran yang sangat penting dan perlu wujud pada diri setiap pengamal undang-undang.

“Tambahan pula, kepesatan pembangunan teknologi, khususnya teknologi kecerdasan buatan (AI) dan juga teknologi media sosial telah membuatkan sektor perundangan menjadi lebih dinamik dan semakin kompleks.

“Masyarakat pada hari ini sudah menjadi semakin terbuka dan lebih arif tentang aspek perundangan yang dipacu oleh ledakan teknologi maklumat, di mana kebanyakan maklumat yang berkaitan dengan undang-undang boleh diperolehi secara mudah melalui medium atas talian,” kongsinya.

Katanya, teknologi juga sudah perlahan-lahan mula mengambil alih peranan manusia dalam industri perundangan. Firma pelaburan antarabangsa terkemuka, Goldman Sachs pada tahun 2023 mengandaikan 44% daripada kerja sektor perundangan yang dilakukan oleh manusia pada hari ini bakal diambil alih oleh teknologi AI pada masa akan datang.

“Malah, perdebatan mengenai etika perundangan, samada AI benar-benar mampu untuk menggantikan kemampuan manusia dalam menerajui industri perundangan sedang hangat digagaskan dan dibincangkan di negara maju, termasuk di Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan China. 

“Hal ini menuntut supaya pengamal undang-undang pada masa hadapan untuk lebih bersiap-siaga dalam menghadapi cabaran.

“Justeru, pertandingan seperti ini mampu membina dan memantapkan lagi kemahiran insani mahasiswa undang-undang, dalam erti kata membina kemahiran interpersonal dan juga berkomunikasi terutamanya apabila mereka diberikan pendedahan untuk mengendalikan temuramah bersama klien,” tambahnya.

Pertandingan ini juga menjadi medan ujian agar seseorang peserta tersebut mampu untuk memahami dan mengekstrak permasalahan yang dihadapi oleh klien mereka dengan menggunakan kaedah pertanyaan dan pemerhatian yang betul.

“Mereka juga dikehendaki untuk menasihati klien mereka dalam membantu untuk menyelesaikan masalah perundangan tersebut dimana ia sudah tentu menuntut mereka untuk memiliki kefahaman undang-undang yang jitu,” ujarnya.

Edisi kali ini disertai oleh enam pasukan yang terdiri daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan juga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam pertandingan itu, mahasiswa undang-undang yang mewakili Fakulti Undang-undang,  UiTM memenangi tempat pertama sekali gus membawa pulang piala pusingan, cek bernilai RM700 dan sijil penyertaan, manakala pasukan dari UUM di tempat kedua menerima cek bernilai RM500 dan sijil penyertaan.