All News

SHURA: SENTIASA PEKA TERHADAP ISU-ISU KES SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG PERNIAGAAN ISLAM

SENTIASA PEKA TERHADAP ISU ISU KES SYARIAH DAN UNDANG UNDANG PERNIAGAAN ISLAM

SINTOK – 04 OKTOBER 2022, Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), UUM COLGIS dengan Angkatan Bekas Pelajar Maktab Mahmud Alor Setar SPM 2001 (ALPHA 2001) telah mengadakan SHURA Virtual Talk bersiri yang membicarakan isu-isu kontemporari, pertikaian dan penyelesaian dalam kedua-dua bidang iaitu bidang Syariah dan Undang-undang Perniagaan Islam.

SHURA Virtual Talk Siri 1 bertajuk “Perundangan Halal Dalam Produk Kosmetik di Malaysia” disampaikan oleh Dr. Mohd Mahyeddin Mohd Salleh, Ketua Program Sarjana Muda Syariah (Halal) USIM menerusi SHURA Virtual Talk (S.H.A.R.K) pada 6 September 2022 (Rabu) yang lalu. Dalam temubual tersebut, beliau menerangkan berkenaan produk kosmetik terus menjadi pilihan rakyat Malaysia. Sebahagian besar produk kosmetik adalah berkenaan rahsia keremajaan, putih, gebu, mulus, kurus dan ramping. Adakah kita yakin dengan status halal produk kosmetik ini? Bagaimana pihak berkuasa jalankan pemeriksaan? Hal-hal ini yang diperbincangkan dalam fatwa ini.

SHURA Virtual Talk Siri 2 bertajuk “Konflik Rumahtangga: Benda Boleh Bincang, Buat Apa Gaduh” yang disampaikan oleh Tuan Mohd Husni Za'im Mohd Said, Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (Calon PhD Universiti Sains Malaysia) menerusi SHURA Virtual Talk (S.H.A.R.K) pada 4 Oktober 2022 (Selasa).

Program Bual Bicara ini dibawakan khas oleh Unit Penyelidikan Shariah dan Undang-Undang Perniagaan Islam (SHURA), Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia dan Persatuan Angkatan Bekas Pelajar Maktab Mahmud Alor Setar SPM 2001 (ALPHA 2001) berkenaan konflik rumahtangga yang membelenggu pasangan Islam dilaporkan semakin meningkat. Masing-masing menuding jari menyalahkan sesama sendiri hingga dibawa ke Mahkamah Syariah. Ironinya apabila bercakaran, pasti ada yang terluka. Yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu.

Diakhir bual bicara ini para peserta forum banyak mengutarakan soalan kepada penceramah jemputan. Ini menunjukkan program ini mendapat sambutan daripada para penonton kerana berkaitan isu-isu semasa dan kekeluargaan. Turut hadir dalam forum tersebut adalah Prof. Madya Dr. Yusramizza Md. Isa @ Yusuff, Dekan Pusat Pengajian Undang-undang, Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dn Alumni), Prof. Madya Dr. Mohd Zakhiri Md Nor, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) dan Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman, Pengarah, Unit Penyelidikan Shariah dan Undang-Undang Perniagaan Islam (SHURA), Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia serta kakitangan Universiti Utara Malaysia.