All News

NASIB TERBELA JIKA CELIK UNDANG-UNDANG

celik undang2

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), Pusat Bantuan Guaman (PBG) memberi pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat mengenai undang-undang jenayah dan undang-undang-undang keluarga Islam.

Pengarah PBG, Dr. Anis Shuhaiza Md Salleh berkata, program pendidikan masyarakat celik undang-undang itu diadakan di tapak Pesta Konvokesyen UUM ke-34, di padang kawad PALAPES UUM, baru-baru ini.

“Pendekatan pendidikan secara santai sebegini mampu membuatkan program ini mencapai sasarannya dan sedikit sebanyak memberi ilmu undang-undang kepada mereka.

“Selalu kita dengar jenayah kekerasan rumahtangga, siapa yang menjadi mangsa, apa perlindungan yang ada, bagaimana prosedur untuk tindakan mangsa menyelamatkan diri, apa nak buat sekiranya berhadapan masalah rumahtangga dan hak-hak selepas penceraian?” katanya.

Justeru katanya, program ini memberi pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat mengenai Undang-Undang Jenayah dan Undang-Undang-Undang Keluarga Islam dengan mengedarkan sebanyak 100 keping poster mengenai undang-undang.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Undang-Undang, Maisara Anisah Mohd Rahimi berkata, ilmu undang-undang begini adalah penting terutama bagi golongan sasar program ini iaitu masyarakat luar bandar yang rata-rata dilihat kurang berkemampuan dan kurang kesedaran mengenai hak-hak mereka di sisi undang-undang.

Sebagai ahli jawatankuasa program, dia berperanan membantu PBG mempromosikan khidmat yang ditawarkan contohnya, nasihat guaman dan menyediakan rundingan percuma untuk isu kekeluargaan, isu kemalangan seperti pampasan dan insurans serta harta pusaka.

“Mempromosikan peluang ini kepada masyarakat sememangnya satu kelebihan kerana saya dapat membantu menyedarkan masyarakat tentang keprihatinan pihak PBG, yang ingin meringankan beban terutama sekali golongan yang tidak mampu untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada peguam luar ekoran harga rundingan yang mungkin agak mahal.

“Inisiatif ini membuka mata dan minda masyarakat tentang pentingnya untuk celik undang-undang. Masyarakat perlu ambik cakna tentang isu ini termasuk undang undang keluarga Islam dan keganasan rumah tangga.

“Mengapa perlu untuk celik undang undang? Semestinya kerana undang-undang itu adalah seperti garis panduan dalam kehidupan kita. Tanpa mengetahui undang-undang yang tepat, masyarakat akan berbicara dan menghukum sesuka hati mereka kerana tidak tahu apa yang sepatutnya mereka ikut,” ujarnya.