All News

DISIPLIN DAN BIJAK URUS MASA RAHSIA KEJAYAAN TIGA PENERIMA ANUGERAH UTAMA UNIVERSITI

rahsia kejayaan

UUM ONLINE: Disiplin dan bijak menguruskan masa menjadi kunci utama tiga graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berjaya terpilih sebagai penerima anugerah utama universiti pada Majlis Konvokesyen Ke-34 yang berlangsung hari ini.

Mereka ialah Muhammad Idhil Hashim, 24, graduan Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan serta Chuah Jing Ing, 28, graduan Sarjana Muda Pemasaran masing-masing menerima Anugerah Pelajaran Diraja, manakala Muhammad Zairulfikri Zailani, 25, graduan Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan menerima Anugerah Pingat Emas Canselor.

Ketika ditemui, Muhammad Idhil berkata, dia berasa rendah diri untuk menerima anugerah tertinggi itu jika dibandingkan dengan calon graduan lain yang lebih hebat, namun dia tetap panjatkan rasa syukur kerana diberikan rezeki untuk menjadi penerima anugerah tersebut.

Menurutnya, bukan mudah untuk bergelar pelajar universiti kerana perlu bijak membahagikan masa, terutamanya apabila dia aktif dalam aktiviti kebudayaan yang bukan sahaja di peringkat universiti malah antarabangsa.

"Ini adalah cabaran kepada saya untuk membahagikan masa tetapi alhamdulillah saya tidak menghadapi masalah besar untuk uruskan jadual untuk belajar dan juga aktiviti luar dengan sebaiknya kerana saya memegang konsep ‘selalu memberi, Allah akan permudahkan urusan’.

"Sepanjang berada di universiti, saya akan menyediakan nota yang lebih ringkas dan padat hingga menjadi kata kunci mengikut topik agar memudahkan saya faham. Kemudian, nota yang dibuat ini akan dikongsikan bersama rakan-rakan untuk mereka ulang kaji terutama menjelang peperiksaan," katanya yang kini bekerja sebagai pakar pemerolehan bakat di Kuala Lumpur.

Muhamamd Idhil turut memberikan penghargaan kepada ibu bapanya yang tidak pernah berhenti menyokong dan memberi dorongan terutama dalam penglibatan dalam aktiviti kebudayaan di universiti serta tenaga pengajar di Pusat Budaya dan Seni yang banyak membentuk kemenjadian dirinya.

Begitu juga bagi Jing Ing, meskipun aktif mewakili daerah dan negeri dalam permainan catur, keutamaan tetap diberikan kepada pelajaran agar dia tidak ketinggalan.

Menurutnya, sentiasa berdisplin dan pandai mengurus masa merupakan kunci kejayaan untuk memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester, seterusnya menamatkan pengajian dengan Purata Markah Keseluruhan (PMK) 3.88, selain memberi fokus kepada aktiviti atau perkara yang boleh memberi manfaaf, seterusnya boleh diaplikasikan dalam kehidupan pada masa hadapan.

Tambah Jing Ing, ketika belajar, dia mengikut kemampuan diri dengan menggunakan kaedah yang berkesan dan sesuai serta menetapkan matlamat yang boleh dicapai.

"Walaupun telah tamat belajar, saya masih menganggap diri masih belajar bagi memastikan masa depan terjamin. Justeru, saya perlu menguasai kemahiran penting, selain jangan mudah mengalah terhadap kritikan orang lain, sebaliknya jadikan ia sebagai pengajaran.

"Dengan ijazah yang diterima ini, saya merancang untuk membuka perniagaan sendiri, bagaimanapun semuanya masih dalam perancangan dan saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan. Yang penting ialah 'be good, do good and you deserve all good things'," kata anak kepada pasangan Chuah Goh Chye dan Lim Sew Lan.

Sementara itu, penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Muhammad Zairulfikri yang bekerja di salah sebuah butik kewangan korporat di Kuala Lumpur menzahirkan rasa bersyukur kepada Allah kerana mengizinkannya untuk menimba ilmu di UUM dan seterusnya menempa kejayaan dan menerima anugerah tersebut.

Berkongsi rahsia kejayaan, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia sentiasa membantu rakan-rakan yang memerlukan, aktif berpersatuan dan beraktiviti untuk membuka minda dan menambah kenalan, selain berani mengambil peluang seperti dapat mewakili universiti ke Chiang Mai untuk ASEAN Student Leader Forum dan ke Nakhon Si Thammarat untuk pertandingan seminar bersempena IMT-GT Varsity Carnival pada 2019.

"Saya mengimpikan untuk memiliki perniagaan sendiri berkaitan perkhidmatan kewangan, seterusnya dapat berkhidmat kepada masyarakat dan agama dengan sebaiknya," katanya.

Ketiga graduan ini menerima anugerah tersebut yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Canselor pada sesi pertama pagi tadi di Dewan Mu’adzam Shah.