All News

UBAH PERSEPSI BURUK TERHADAP BEKAS BANDUAN

penjara

UUM ONLINE: Bagi memberi pemahaman kepada masyarakat tentang banduan dan sekali gus menepis persepsi negatif masyakarat terhadap mereka, Pusat Bantuan Guaman Pusat Pengajian Undang-undang (SoL) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Webinar bertajuk Tirai Besi Proses Kemasukan dan Pembebasan Banduan Sabitan.

Jabatan Penjara Malaysia (JPM) merupakan agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memikul tanggungjawab tersebut bermula dari proses kemasukan seorang banduan sabitan dan pembebasannya.

Dalam hal ini, Ketua Inspektor Penjara Pokok Sena, Kedah, Hasliza Hasyim berkata, proses kemasukan banduan sabitan ke penjara dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Ia meliputi proses sejurus selepas hukuman dijatuhkan mahkamah, iaitu proses penerimaan banduan, penyimpanan harta-harta banduan, proses ketika dalam penjara dan ketika pembebasan.

“Peraturan dan undang-undang sedia ada bukan hanya meliputi fizikal atau tubuh badan seorang banduan malah ia meliputi harta benda yang ada pada banduan ketika banduan dimasukkan ke penjara,” ujarnya.

Menurutnya, harta benda banduan meliputi harta benda berharga, harta benda tidak berharga dan harta benda tambahan semuanya mempunyai kaedah dan peraturan mengenai definisi pengkelasan, penyimpanan, pengendalian dan penyerahan semula kepada banduan selepas mereka dibebaskan.

“Keluarga atau waris dibenarkan untuk menuntut sebahagian harta benda banduan ini dengan membuat permohonan kepada pihak Penjara serta tertakhluk kepada kebenaran yang diberikan pihak Penjara serta banduan itu sendiri.

“Antara contoh di mana kebenaran diberikan adalah tuntutan terhadap kad pengenalan banduan oleh ahli keluarga atau waris bagi tujuan persekolahan anak,” katanya.

Hasliza turut menerangkan tentang keperluan yang disediakan kepada banduan sabitan seperti keperluan asas diri seperti tilam, bantal, selimut, dan sudu. Turut diberi kepada banduan adalah kursus kemahiran hidup dan kelas pengajian agama agar banduan dapat menjalani hukuman di penjara dengan lebih bermakna dan berguna kepada mereka selepas dibebaskan.

Ditanya mengenai peranan institusi penjara sebagai pusat rehabilitasi dan pemulihan kepada banduan, Hasliza menyatakan bahawa kelas pengajian agama, kursus kemahiran hidup yang disediakan Penjara memang dilihat membantu banduan sebagai contoh banduan yang terlibat dengan dadah untuk pulih dan melupakan dadah atau apa-apa jenayah ketika di dalam penjara.

Mereka dilihat dapat melupakan jenayah lepas dengan melakukan solat bagi yang beragama Islam dan aktiviti keagamaan dengan baik, namun sehari dua sebelum dibebaskan mereka kelihatan gelisah dan ingatan terhadap jenayah lama atau penagihan dadah kembali menghantui. Ini kemungkinan disebabkan oleh kebimbangan meraka tentang penerimaan ahli keluarga dan masyarakat terhadap bekas banduan.

Bagi Dekan, Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa, perkongsian oleh pihak penjara melalui program seumpama ini dilihat sebagai satu medium yang baik bagi memberi pengetahuan dan penjelasan kepada masyarakat berkaitan proses kemasukan dan pembebasan banduan sabitan serta peranan Jabatan Penjara mendidik masyarakat menjauhi jenayah.

Dalam kesempatan itu, moderator program Prof. Madya Dr. Zuryati Mohamed Yusoff yang merupakan perunding di Pusat Bantuan Guaman menzahirkan harapan agar program ceramah ini dapat mendidik masyarakat agar mengubah persepsi buruk terhadap bekas banduan dengan memberi mereka peluang untuk menjalani kehidupan harian dengan lebih baik.