All News

“SUARA KANAK-KANAK DI MAHKAMAH: SEJAUH MANA DIDENGARI?

GAMBAR BERITA

SINTOK, 19 April 2022 – Pusat Bantuan Guaman, Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), UUM COLGIS telah berjaya melaksanakan Webinar Undang-undang bertajuk “Suara Kanak-kanak di Mahkamah: Sejauh Mana Didengari? diadakan secara maya.

Pusat Bantuan Guaman telah menjemput penceramah luar yang merupakan Ketua Unit Penyelidikan, Mahkamah Tinggi Sabah & Sarawak, Kota Kinabalu Court Complex, Dr. Iriane binti Isabelo yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kes-kes melibatkan kanak-kanak di Mahkamah.

Dalam ceramah beliau turut menerangkan fungsi dan sistem perundangan di Malaysia iaitu Mahkamah persekutuan dan Mahkamah Negeri yang melibatkan kanak-kanak dan mengenai Perkara 12 Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-kanak (United Nation Convention on the Rights of the Child) (UNCRC) 1989, kanak-kanak berhak bersuara dalam semua hak melibatkan mereka. Ini termasuklah hal ehwal perundangan dan urusan mahkamah.

Menurut beliau juga Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, contohnya Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, kanak-kanak yang telah mencapai tahap mumayyiz (kecerdikan) dianggap mempunyai hak menyatakan pandangan mereka di mana hakim Syarie boleh bertanyakan pendapat mereka dengan siapa mereka ingin tinggal dengan mengambil kira kebajikan anak tersebut.

Bagaimanapun, undang-undang tersebut adalah umum dan tidak menyatakan bagaimana pendapat anak diperolehi, apakah bentuk soalan yang wajar ditanya, perlukan kanak-kanak ditemani oleh kaunselor kanak-kanak dalam prosiding mahkamah dan apakah aspek kestabilan emosi kanak-kanak perlu dipertimbangkan? katanya.

Di samping itu juga subseksyen 2(1) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], menjelaskan “kanak-kanak” ertinya seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun dan berhubung dengan prosiding jenayah, ertinya seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa menjelaskan program ceramah umum dan perkongsian pengalaman dalam kes melibatkan suara kanak-kanak di Mahkamah merupakan anjuran Jawatankuasa Pusat Bantuan Guaman (PBG), SoL yang sentiasa memberi khidmat rundingan berkaitan perundangan secara percuma kepada masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah.

Manakala Pengarah Pusat Bantuan Guaman, Dr. Anis Shuhaiza Md Salleh berkata, program ini juga bertujuan memberi kefahaman berkaitan hak kanak-kanak dalam memberi pandangan dalam kes-kes di Mahkamah.

“Sebagai penutup perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia ini ada sebenarnya akta kanak-kanak tersendiri dan kita juga ada Mahkamah Khas untuk kanak-kanak dibicarakan. Ini menunjukkan bahawa isu kanak-kanak ini bukan satu dipandang remeh dalam memastikan bahawa keadilan terhadap kanak-kanak dan suara mereka di dalam perbicaraan itu dilaksanakan dengan baik katanya.