All News

PROGRAM INTERVENSI SOSIAL BANTU CEGAH GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN BELIA

intervensiedit

UUM ONLINE: Unit Penyelidikan Shariah dan Undang-Undang Perniagaan Islam (SHURA), Pusat Pengajian Undang-undang (SoL) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Intervensi Sosial dari Belia untuk Belia Siri 1 Peringkat Negeri 2022 secara dalam talan baru-baru ini.

Program yang dianjurkan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dan Biro PPDa Kelab PEMADAM dan IPT PEMADAM Negeri Kedah itu mendapat kerjasama Pusat Asasi Pengurusan UUM, Kelab Pengucapan Awam UUM, Kelab PEMADAM UUM dan Majlis Belia Daerah Kubang Pasu dibuat secara atas talian melalui aplikasi Webex.

Program tersebut turut dihadiri hampir 200 orang belia yang terdiri daripada pelajar Asasi Pengurusan UUM serta Mahasiswa dan Mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UNISHAMS) dan pelbagai institusi pengajian tinggi yang lain di Kedah.

Tujuan penganjuran program ini diadakan untuk meningkatkan penglibatan belia sebagai agen perubahan dan memainkan peranan membantu mencegah gejala sosial dalam masyarakat. Selain itu, program ini bertujuan untuk menggalakkan kolaborasi pelaksanaan program intervensi sosial oleh belia bersama pertubuhan belia berdaftar dan Iain-lain agensi berkaitan serta meningkatkan keterlihatan (visibility) SHURA dan agensi yang terlibat.

Dekan, Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa @Yusuff dalam ucapan perasmian menyatakan tanggungjawab pusat pengajian bukan sekadar meliputi aspek pembelajaran dan pengajaran tetapi turut menumpukan aspek khidmat komuniti dan pembangunan sosial.

Ustaz Mohd Aizat Zakaria yang merupakan Pengarah Yayasan Dakwah Islam Malaysia Negeri Kedah berkongsi pandangan berkaitan Belia Islam Tonggak Pemangkin Keluarga Malaysia dan Dr. Khairul Fikri Sebri yang juga wakil Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Cawangan Kedah bercakap mengenai Generational End Game Anti Rokok.

Majlis turut dihadiri Timbalan Pengarah 1 Pusat Asasi Pengurusan UUM, Masanita Mat Noh, Ketua SHURA, Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman, wakil Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dan PEMADAM Negeri Kedah.