All News

SOL DIDIK MASYARAKAT JAUHI RASUAH

rasuah

UUM ONLINE: Rasuah amat bahaya ibarat anai-anai yang memakan sedikit demi sedikit tanpa kehadirannya disedari. Lebih menakutkan gejala rasuah mampu mencemarkan imej dan menghancurkan sesebuah negara.

Ketua Penolong Kanan Penguasa merangkap Ketua Unit Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, Rohaya Osman berkata, individu terjebak dengan rasuah berpunca daripada tiada integriti, suka dirai, untung mudah, amalan organisasi dan taktik kontraktor.

“Ada juga yang diuji rasuah beberapa kali, kali pertama mungkin menolak tetapi beberapa kali dipujuk, kena pula hujung bulan duit tiada, gaji belum diterima lagi menyebabkan mereka mudah terjebak.

“SPRM tidak melihat nilai tetapi aktiviti suapan yang diberikan. Bagaimana permulaan rasuah berlaku? Kita menerima maklumat bahawa remaja 16 tahun cuba merasuah bagi mendapatkan lesen setelah gagal dalam ujian memandu. Bayangkan umur yang masih muda macam mana dapat idea sebegitu maknanya dia tahu tentang pemberian rasuah,” ujarnya dalam ceramah bertajuk ‘Duit Kopi: Tercalarnya Integriti’ yang berlangsung secara atas talian melalui aplikasi Webex dan SoL FBlive.

Beliau mendefinisikan rasuah sebagai memberi atau terima suapan yang bertujuan supaya seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasminya.

Bentuk rasuah yang terlibat seperti wang, hadiah, bonus, seks, perkhidmatan, upah, jawatan dan diskaun contohnya pelajar memberi rasuah kepada pensyarah untuk lulus dengan cemerlang.

Selain itu beliau turut menerangkan fungsi dan peranan SPRM seperti menerima aduan kes, menjalankan siasatan dan khidmat rundingan,

“Saban tahun SPRM menerima aduan sekitar 6,000 hingga 8,000 maklumat sama ada melalui surat, e-mel, telefon atau datang ke pejabat. Misalnya, penjawat awam ditangkap menyalahgunakan kuasa apabila membuat tuntutan kewangan sedangkan tiada program yang dijalankan,” kongsinya yang pengalaman sepanjang 16 tahun berkhidmat dalam SPRM.

Tambah Rohaya lagi, tangkapan terbanyak melibatkan penjawat awam berusia dalam lingkungan umur 21 hingga 40 tahun yang banyak menerima rasuah berbanding golongan berumur 41 hingga 60 tahun.

Ujarnya, SPRM membuat kajian di kalangan pelajar IPT berusia 18 tahun pada 2012 berkenaan adakah kesanggupan memberi rasuah bagi memudahkan urusan dan SPRM menerima jawapan mengejutkan kerana rata-rata menjawab ‘Ya’. Justeru, pihaknya bertanggunggungjawab untuk mendidik dan mendapatkan sokongan masyarakat dalam memerangi rasuah.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa menjelaskan program ceramah umum dan perkongsian pengetahuan berkaitan rasuah sempena bulan kemerdekaan itu merupakan anjuran Jawatankuasa Pusat Bantuan Guaman (PBG), SoL bertujuan menambah pengetahuan dan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai rasuah serta peranan SPRM dalam membanteras rasuah di Malaysia.

Manakala Pengarah Pusat Bantuan Guaman, Dr. Anis Shuhaiza Md Salleh berkata, program ini juga bertujuan memartabatkan integriti dan jati diri bangsa Malaysia yang bebas rasuah dan semua pihak perlu memandang serius isu ini.

“Melalui wadah ini, kupasan telah dibuat mengenai apakah rasuah, bentuk rasuah, amalan yang merupakan rasuah yang mungkin biasa berlaku dalam kalangan masyarakat khususnya di sektor awam,” katanya.