All News

FELO PERDANA DIINGATKAN JAGA INTEGRITI DAN NAMA UNIVERSITI

Felo

UUM ONLINE: “Jaga etika dan integriti demi nama baik universiti,” itulah pesanan Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah kepada dua Felo Perdana yang terpilih menyertai program Felo Perdana dan Felo Korporat pada pertemuan hari ini di Bilik Mesyuarat Naib Canselor.

Kedua Felo Perdana itu merupakan pelajar Sarjana Muda Undang-undang, Ng Choon Kiat yang ditempatkan di Pejabat Perdana Menteri dan Aiman Nadim Joehaimi di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Haim Hilman berkata, apabila berpeluang untuk bekerja walaupun menjalani ‘intern’ di situ untuk seketika, sudah pasti akan datang pelbagai ujian dan cabaran.

Menurutnya, beliau tidak mahu pelajar universiti ini terlibat dalam perkara-perkara yang boleh melanggar integriti mahupun etika yang bertentangan.

“Jagalah nama baik UUM dan juga ibu bapa. Banggakan universiti ini dengan personaliti dan kemahiran yang dimiliki yang bukan sahaja membanggakan UUM, malah negara.

“Sebagai pemimpin masa hadapan juga, kedua pelajar ini sudah berada di landasan yang tepat. Jadilah seorang pemimpin yang sentiasa memikirkan tentang orang lain dengan niat untuk membantu mereka,” katanya.

Tambah beliau, apabila bekerja, lakukan sepenuh hati tanpa memikirkan balasan yang akan diterima apabila melakukan pekerjaan itu.

Menurutnya, Choon Kiat dan Aiman Nadim perlu berasa bertuah apabila dipilih untuk program tersebut, apatah lagi ditempatkan di Pejabat Perdana Menteri dan kementerian utama yang memberi khidmat kepada rakyat.

Katanya, ambil peluang tersebut untuk lakukan yang terbaik dan di luar jangkaan orang atau majikan, selain belajar sebanyak yang boleh untuk dijadikan pengalaman apabila bekerja kelak.

Sementara itu, Choon Kiat dan Aiman Nadim masing-masing merakamkan penghargaan kepada Naib Canselor, Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) dan ahli keluarga yang banyak memberikan sokongan dan dorongan untuk mereka menyertai Felo Perdana itu yang akan bermula secara rasmi pada 1 Ogos depan bagi tempoh lima bulan.

Kedua mereka berjanji akan melakukan yang terbaik dan berusaha mempelajari selok belok tadbir urus pentadbiran kerajaan dan kementerian, selain meluaskan jaringan.

Dekan SOL, Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa @ Yusuff turut mengucapkan tahniah kepada dua pelajarnya itu di atas pemilihan dan keberanian memohon menyertai program tersebut.

Beliau berharap mereka akan mengambil peluang itu sebaiknya bagi mempertingkatkan kebolehan dan juga kecemerlangan akademik, pada masa sama menyemat kata-kata azimat daripada Naib Canselor.

Selain dua pelajar itu, turut terpilih menyertai Program Felo Perdana ini ialah pelajar Sarjana Muda Komunikasi, Nur Haziqah Kamaruzzaman ditempatkan di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dan pelajar Sarjana Muda Hal Ehwal Antarabangsa, Muhammad Iqhwan Madzli di Kementerian Luar Negeri.