All News

MAHASISWA UUM JADI FELO PERDANA KEPADA PERDANA MENTERI

felo perdana

UUM ONLINE: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu?

Begitulah tuah pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), Universiti Utara Malaysia (UUM), Ng Choon Kiat apabila terpilih menjadi Felo Perdana kepada Perdana Menteri Malaysia yang ditempatkan di Pejabat Perdana Menteri.

Semasa dihubungi, Choon Kiat menjelaskan Felo Perdana satu program kerajaan di bawah anjuran Kementerian Belia dan Sukan sejak 2013 khususnya untuk golongan belia untuk terlibat dalam agenda nasional di bawah penyeliaan kabinet seperti Menteri dan Perdana Menteri.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk menyelami kehidupan seorang menteri dari aspek tanggungjawab yang digalas serta memahami selok-belok tadbir urus negara,” ujarnya.

Di bahunya tergalas amanah dan tugasan untuk membuat penyelidikan terhadap dasar dan polisi negara, penyediaan teks ucapan menteri dan penyelidikan bagi persidangan parlimen.

“Jadi saya berharap dalam tempoh 5 bulan berada di sini, saya dapat belajar lebih banyak ilmu termasuk mengenali tadbir urus kerajaan, belajar proses tadbir urus di samping mengenali lebih ramai kawan dan memanfaatkan pengalaman yang sedia ada kepada kerajaan dalam agenda dan polisi negara,” katanya.

Choon Kiat antara empat mahasiswa UUM yang terpilih mengikuti program Felo Perdana dan Felo Korporat 2022 bermula 13 Julai hingga 31 Disember 2022.

Mereka yang lain ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-undang, Aiman Nadim Joehaimi, seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Nur Haziqah Kamaruzzaman dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Hal Ehwal Antarabangsa, Muhammad Iqhwan Madzli.

Sementara itu, bagi Muhammad Iqhwan dari Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Felo Perdana memberi pendedahan awal kepada pelajar ijazah sarjana muda untuk mengikuti dan mengenali sistem pentadbiran kerajaan khususnya dalam pembuatan dasar di peringkat nasional yang lebih komprehensif.

“Kami ditempatkan bersama mentor menteri masing-masing yang kemudian memberi pendedahan yang terbaik bagi kami untuk mengetahui hakikat sebenar yang dilakukan seorang menteri misalnya cara menyelesaikan masalah, menggubal dasar dan tadbir urus.

“Tugasan saya di Kementerian Luar Negeri memberi pemahaman praktikal berbanding teoretikal kerana sebagai pelajar Hal Ehwal Antarabangsa saya dapat melihat bagaimana kaedah diplomasi antara Malaysia dengan negara luar dilakukan berdasarkan nilai budaya dan norma masing-masing.

“Selain itu, kami dapat melakukan tugasan penting seperti membuat laporan dan dokumentasi penting berdasarkan isu semasa yang dibahas,” katanya yang menjadi Felo Perdana kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Apabila mendapat perkhabaran dirinya terpilih semestinya dia berasa bersyukur dan teruja menimba pengalaman berharga ini.

“Saya terkejut dan tidak sangka kerana daripada 1,500 pemohon, yang belajar atau bekerja di dalam dan luar negara pastinya memberikan cabaran luar biasa, saya terpilih antara 82 felo perdana dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh serta menjaga nama baik UUM.

“Mahasiswa sebagai belia yang menjadi contoh kepada rakyat di Malaysia yang menggerakkan jentera dan kuasa pentadbiran sama ada di peringkat kerajaan mahupun swasta sudah tentu memberikan impak yang besar kepada transformasi negara,” tambahnya.

Dia yakin menerusi program ini dapat membentuk sifat kepemimpinan yang jitu dan holistik sekali gus mampu mengorak langkah lebih jauh ke hadapan menerusi penglibatan dasar dan kerja penting di bawah tanggungjawab kerajaan.