All News

UUM-UNIDA TERUSKAN KERJASAMA SEBAGAI RAKAN STRATEGIK

mou

UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universitas Djuanda (UNIDA) Bogor, Indonesia meneruskan kerjasama melalui lanjutan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) untuk tempoh 3 tahun lagi sehingga 2025.

MoU antara UUM dan UNIDA itu ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dan Rektor UNIDA, Prof. Dr. Suhaidi di UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL), hari ini.

Haim Hilman berkata, lanjutan MoU tersebut membolehkan UUM dan UNIDA untuk merancakkan lagi aktiviti kolaborasi dalam pelbagai bidang, selain menawarkan kepakaran UUM kepada universiti swasta yang terletak di Jawa Barat Indonesia itu.

Menurutnya, kedua universiti ini boleh melihat bersama peluang kerjasama di peringkat antarabangsa dalam usaha menjayakan agenda pengantarabangsaan di UUM dan juga UNIDA.

“Kita cari titik persamaan untuk UUM dan UNIDA agar dapat menerokai bidang yang sesuai untuk dilaksanakan termasuk dalam aspek penyelidikan dan penerbitan.

“Selain menawarkan program ‘mentorship’ utama yang boleh dimanfaatkan UNIDA, UUM juga sedia membantu dengan berkongsi pengalaman dan kepakaran untuk membantu melonjakkan ranking UNIDA malah membantu menjadi lebih cemerlang,” katanya.

Haim Hilman berkata, UUM bersedia untuk bersama-sama UNIDA ‘mengupayakan’ anak bangsa agar menjadi terpelajar demi kelangsungan generasi kini dan akan datang terjamin di tangan mereka sebagai pemimpin masa hadapan.

Tambahnya, UUM tidak mahu melahirkan pelajar yang bijak tetapi aspek tauhidnya masih rendah, sebaliknya melahirkan pemimpin yang berkuasa untuk membela nasib anak bangsa dan seagama.

Menurut beliau lagi, UUM juga akan membantu ‘mentoring’ UNIDA sehingga universiti itu berjaya bukan semata-mata mengejar ranking tetapi berusaha untuk terus cemerlang.

“Justeru, saya berharap di pihak UUM dan UNIDA dapat menetapkan sasaran dengan menyediakan kerangka kerja agar lebih mudah penyusunan gerak kerja kedua pihak dapat dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Canselor UNIDA, Dr. H. Martin Roestamy dalam ucapannya berkata, kerjasama UNIDA itu bukan sahaja untuk belajar daripada UUM tetapi turut mendoakan untuk kejayaan universiti itu.

Menurut Martin, beliau tertarik dengan idea program ‘mentoring’ yang ditawarkan Naib Canselor UUM, selain menjalinkan kolaborasi strategik antara kedua pihak.

Katanya, beliau berharap MoU yang ditandatangani semula menerusi Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) itu bukan di atas kertas sahaja tetapi ada tindakan lanjut termasuk perancangan memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama beberapa pusat pengajian lain.

“Saya yakin semua program ‘mentorship’ yang dinyatakan Naib Canselor itu dapat dilaksanakan di UNIDA termasuk menyegerakan program pertukaran pelajar sebaik MoU ini terjalin, di samping program yang telah dirancang seperti projek penyelidikan secara bersama, penerbitan buku dan artikel jurnal serta penganjuran bersama seminar di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, saya mahu UUM juga dapat bekerjasama dengan UNIDA dalam penjanaan kewangan menerusi kerjasama perniagaan yang berpotensi besar. Kita ingin membantu universiti ini untuk lebih maju lagi,” katanya.

Dalam perbincangan dua hala yang diketuai Haim Hilman itu, kedua universiti turut membincangkan tentang penawaran program pengajian di UNIDA, pemindahan ilmu (transfer knowledge), tawaran geran padanan dalam penyelidikan dan penerbitan serta membantu UNIDA mewujudkan pelan strategik untuk menjayakan agenda universiti yang merangkumi pelbagai aspek seperti dilakukan UUM melalui Pelan Strategik UUM.

Hadir sama, Provos UUMKL, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar; Penolong Naib Canselor COLGIS, Prof. Dr. Nuarrual Hilal Md Dahlan; Dekan SOL, Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa@Yusuff dan pegawai-pegawai kanan UUM serta UNIDA.