All News

SoL BERSAMA PUSAT BANTUAN GUAMAN DEKATI MASYARAKAT

sol bersama pbg

UUM ONLINE: Kelab Kebajikan dan Jawatankuasa Pembangunan Pelajar dan Alumni, Pusat Pengajian Undang-undang (SoL) telah mengadakan program khidmat masyarakat ‘Outreach Program PBG UUM ke Risda Tanjung Genting: Anda di Hati Kami’ di Dewan Orang Ramai, RISDA Tanjung Genting, Sintok, baru-baru ini.

Program yang mendapat kerjasama Pusat Bantuan Guaman (PBG), Risda Tanjung Genting, Sintok dan Jabatan Penjara Pokok Sena itu telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), SoL, Prof. Madya Dr. Mohd Zakhiri Mohd Nor yang mewakili Dekan, Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa@ Yusuff.

Pada program itu, dua penceramah iaitu Pengerusi Badan Peguam Kedah, Rosman Azwan Osman telah berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai jenayah ‘scammers’, manakala Pegawai Penjara Pokok Sena, Zureen Aizad Tajuddin berkongsi tentang kehidupan seharian sebagai banduan yang telah berjaya menarik minat penduduk untuk terus kekal hingga ke akhir program.

Di dalam program tersebut juga, tiga alumni SoL yang merupakan peguam terlatih telah memberikan khidmat guaman percuma kepada penduduk yang hadir untuk mendapatkan khidmat mereka secara percuma, selain pameran oleh Penjara Pokok Sena yang memberi pendedahan kepada mereka agar sentiasa menjauhi jenayah.

Selain itu, penduduk terpilih turut menerima sumbangan berupa beras dan pakaian terpakai dalam usaha membantu meringankan bebanan mereka.

Di akhir program, wakil penduduk merakamkan ucapan setinggi penghargaan serta harapan agar program seumpama ini dapat diadakan lagi secara bersama kepada penduduk.

Hadir sama, Pengurus RISDA, Tanjung Genting, Sintok, Asmad Khan Omar Khan; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), SoL, Prof. Madya Dr. Mohamad Azam Hussain; Pengarah Pusat Bantuan Guaman UUM, Dr. Anis Shuhaiza Md Salleh; wakil-wakil RISDA, Tanjung Genting dan Imam Surau Perumahan RISDA, Yahya Mohd Zahir, serta pensyarah dan staf pentadbiran SoL.