All News

ALUMNI SOL BANTU JAYAKAN PROJEK WAKAF BUKU

alumni wakaf buku

UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) bakal melancarkan projek wakaf buku dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL), Pusat Alumni UUM dan Unit Penyelidikan Shariah dan Undang-Undang Perniagaan Islam (SHURA).

Provos UUMKL, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, UUMKL sentiasa mengalu-alukan sebarang kerjasama bersama SoL termasuklah para graduan dan alumni dari pusat pengajian tersebut.

“Kita mempunyai pelbagai fasiliti dan infrastruktur yang boleh dimanfaatkan oleh SoL. Sebarang pengajuran program dan latihan di UUM KL amatlah digalakkan,” katanya.

Sementara itu, Dekan SoL, Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa @ Yusoff dalam ucapan balas berkata, projek ini adalah langkah pertama SoL ada tahun ini untuk berkolaborasi bersama UUMKL.

Beliau bersyukur dan menghargai kesudian UUMKL untuk memudahkan perjalanan pelancaran projek wakaf buku yang dijadualkan berlangsung pada Mei 2022 di sana nanti selain berbesar hati atas komitmen tinggi alumni SoL.

Menurutnya, projek wakaf buku yang diselaraskan oleh Ketua Jawatankuasa Hubungan Luar, Prof. Madya Dr. Alias Azhar dan Ketua Jawatankuasa Pembangunan Pelajar dan Alumni, Ahmad Nasyran Azrae dapat membantu lebih 500 pelajar siswazah dan pasca siswazah SoL untuk membuat rujukan buku buku terkini yang disumbangkan oleh alumni SoL.

Sementara itu, Ketua SHURA, Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman berkata, wakaf telah mula menjadi fenomena dan dijadikan platform sumbangan oleh semua pihak.

“Pelaksanaan projek ini mampu menyemarakkan Skim Dana Wakaf UUM yang telah diberikan kebenaran oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) sejak tahun 2019. SHURA akan membantu bagi mengadakan perbincangan bersama Bahagian Zakat, Wakaf dan Endowmen (BZWE) UUM untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Manakala Alumni SoL 2009, Khairil Anuar Azmi berkata, beliau dan rakan rakan alumni sangat berbesar hati untuk membantu SoL menjayakan hasrat murni ini.

Beliau yang juga pengamal undang undang sangat teruja untuk menyumbang dan menguruskan proses pembelian buku buku rujukan terkini untuk pelajar SoL.

Turut hadir dalam perbincangan ini, Dekan Akademik Program Perniagaan UUMKL, Dr. Bidayatul Akmal Mustafa Kamil, Ketua Jabatan Program Undang Undang Kerajaan dan Antarabangsa UUMKL, Prof. Madya Dr. Ruzita Azmi, Timbalan Pendaftar UUM KL, Mohd Zulkifli Mohd Noor @ Muhammad dan alumni alumni SoL.