All News

SoL DAN JKSNK CAPAI KESEPAKATAN JALIN KERJASAMA

SHURA

UUM ONLINE: Alor Setar – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah (JKSNK) mencapai kesepakatan untuk menjalinkan kerjasama demi manfaat bersama.

Hasrat tersebut dicapai selepas lawatan muhibah dan perbincangan diketuai Dekan SoL, Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa @ Yusoff terhadap Ketua Hakim Syarie Kedah, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah di pejabat beliau, baru-baru ini.

Yusramizza berkata, perbincangan yang diadakan itu memfokus kepada jalinan kerjasama berkaitan latihan dan kursus pensijilan untuk pegawai syariah dan Hakim Mahkamah Syariah di Kedah melalui Unit Penyelidikan Shariah dan Undang-Undang Perniagaan Islam (SHURA), salah sebuah unit penyelidikan di bawah SoL.

Menurutnya, tawaran latihan dan kursus tersebut adalah selaras dengan hasrat Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah untuk mengadakan program kerjasama antara universiti dan industri.

Sementara itu, Syeikh Abd Rahman berkata, beliau amat berbesar hati menerima kehadiran delegasi UUM dan menyambut baik hasrat kerjasama yang boleh diperkemaskan dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara JKSNK dan UUM.

Beliau juga berharap agar kerjasama ini tidak hanya melibatkan kursus dan latihan, malahan turut melibatkan penerbitan buku dan dokumen di mahkamah syariah.

Hadir sama, Ketua Pendaftar JKSNK, Syeikh Amiruddin Putera Zainol Abidin; Penyelaras Unit Latihan JKSNK, Norlida Zakaria; Ketua SHURA, SoL; Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman dan ahli-ahli penyelidik SHURA.