All News

UUM TAWAR BANTUAN GUAMAN PERCUMA RINGAN BEBAN STAF

pbg

UUM ONLINE: Pusat Bantuan Guaman (PBG), Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) Universiti Utara Malaysia (UUM) menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada kakitangan universiti ini dalam usaha membantu mereka kurang berkemampuan.


Pengarah PBG, Dr. Anis Shuhaiza Md Salleh berkata, PBG berhasrat untuk mempergiatkan lagi usaha dan memperkembangkan khidmat agar bermanfaat kepada orang awam dan memberi peluang yang lebih luas khususnya kepada golongan berpendapatan rendah bagi mendapatkan khidmat perundingan berkaitan masalah undang-undang.

Jelasnya, PBG ditubuhkan pada Oktober 2009 hasil cetusan idea mantan Peguam Negara, Tan Sri Dato’ Ghani Patail di bawah kelolaan SOL yang dibuka pada 10 Jun 2010 untuk warga UUM dan masyarakat luar.

“Objektif penubuhannya untuk memberi khidmat nasihat dan perundingan mengenai undang-undang terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan bagi mendapatkan perkhidmatan profesional dari seorang peguam persendirian.

“Penubuhan ini juga bertujuan merealisasikan misi UUM dalam memasyarakatkan universiti agar masyarakat setempat mendapat manfaat dengan penubuhan UUM,” katanya.

Bagi melaksanakan misi ini, Dr. Anis berkata, Jawatankuasa PBG yang diterajui oleh Pengarah dan beberapa ahli jawatankuasa serta perunding termasuk para pensyarah melaksanakan pelbagai program antaranya memberi nasihat undang-undang kepada warga UUM dan masyarakat setempat serta mengendalikan pusat tersebut.

Menurutnya, antara kes yang ditangani termasuk kes kekeluargaan melibatkan proses perceraian, hadanah, penjagaan anak, muta’ah dan harta sepencarian, kes lewat penyiapan rumah oleh pemaju, kemalangan jalan raya, pembelian kereta dan isu harta pusaka Islam serta tindakan tatatertib oleh pihak berkuasa perkhidmatan.

Selain daripada itu, katanya, PBG UUM juga mengadakan kerjasama dengan Jabatan Bantuan Guaman, Jawatankuasa Peguam Kedah dan Perlis serta agensi kerajaan dalam melaksanakan program seperti wacana dan ceramah agar masyarakat celik undang-undang.

Jabatan Bantuan Guaman Alor Setar turut serta membantu PBG yang beroperasi setiap Khamis dari jam 9.00 pagi hingga 3.30 petang di SOL.

Dari sistem temujanji menggunakan telefon dan borang secara manual, PBG telah memperkenalkan sistem temujanji atas talian (LOAS) bagi memudahkan para pelanggan membuat temujanji dengan pihak PBG.

Untuk maklumat lanjut bolehlah hubungi PBG di talian 04-928 8111/ 8076 atau anda boleh membuat temujanji secara atas talian di laman sesawang Pusat Pengajian Undang-undang di sol.uum.edu.my.