All News

PELAJAR UUM SELECT RANGKUL EMPAT ANUGERAH DALAM SEBULAN

pelajar uum select

UUM ONLINE: Hanya dalam tempoh sebulan, pelajar Semester 6, Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan, Mohammad Daniel Mohammad Ismail berjaya meraih empat anugerah dalam pelbagai pertandingan pidato yang disertainya sepanjang April lalu.


Anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu telah muncul sebagai Naib Johan Pertandingan Pidato Sayembara Bahasa Melayu Peringkat Antarabangsa anjuran Universiti Teknologi Malaysia, Johan Pertandingan Pidato Perpaduan Peringkat Kebangsaan anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris, Naib Johan Pidato Tun Abdullah Ahmad Badawi Peringkat Kebangsaan anjuran Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga Naib Johan Pidato Kepenggunaan Peringkat Kebangsaan anjuran Universiti Teknologi Malaysia.


“Tiada apa yang mustahil jika kita memiliki impian yang besar,” kata Mohammad Daniel yang merupakan Naib Yang Dipertua 2 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM.


Dengan mempertaruhkan empat pertandingan pidato ini, Mohammad Daniel perlu memperuntukkan masa yang sangat baik untuk melakukan latihan dan persiapan selama dua minggu sebelum pertandingan.


Menurutnya, dia perlu memastikan setiap hari selama dua jam diperuntukkan untuk menjalani latihan bagi memastikan kelancaran berpidato.


Mengimbau penglibatan dalam dunia pidato, Mohammad Daniel berkata, tahun 2015 merupakan tahun pertama dia mula berkecimpung dalam pidato di peringkat sekolah sehingga berjaya mewakili UUM semasa menyambung pelajaran di Pusat Asasi Pengurusan.


“Di UUM, Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (UUM SELECT) telah banyak memberikan sokongan dan peluang untuk saya menyertai pelbagai pertandingan pidato.


“Alhamdulillah, tahun ini juga saya diberikan rezeki yang lebih dan saya amat berterima kasih kepada semua yang banyak mendoakan saya terutamanya ibu bapa, rakan-rakan dan warga UUM,” katanya yang merupakan Orator Bahasa Melayu UUM di bawah UUM SELECT.


Terus bergerak ke hadapan, Mohammad Daniel meletakkan sasaran yang tinggi untuk menyertai banyak pertandingan pidato dan merebut gelaran johan dalam setiap pertandingan yang disertai antaranya Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) yang menjadi rebutan ramai orator IPTA di Malaysia.


Menurutnya, pertandingan pidato sebegini dapat memupuk sifat cinta akan Bahasa Kebangsaan, di samping menggalakkan pelajar universiti untuk mengembangkan bakat dalam bidang pengucapan awam.


“Sebagai seorang pelajar, saya amat menggalakkan mereka yang diluar sana untuk menyertai pertandingan sebegini. Usaha efektif yang dilakukan penganjur pertandingan pidato ini juga dapat memartabatkan bahasa tanah air kita,” katanya yang pernah merangkul gelaran johan Pidato Zakat Kedah Online Peringkat Kebangsaan anjuran Lembaga Zakat Negeri Kedah pada tahun lalu.