All News

AUDIT PEMATUHAN PROGRAM PASCA SISWAZAH DITERUSKAN SECARA ONLINE

AUDIT PEMATUHAN PROGRAM PASCA SISWAZAH DITERUSKAN SECARA ONLINE

UUM ONLINE: Unit Swaakreditasi Universiti meneruskan Audit Pematuhan secara atas talian (virtual audit) bagi Program Pasca siswazah ke atas dua lagi Pusat Pengajian iaitu Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) dan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) selama dua hari iaitu pada 31 Januari 2021 hingga 1 Februari lalu.


Sebanyak empat program SOL yang terlibat iaitu Sarjana Undang-Undang, Sarjana Undang-Undang Sumber Manusia, Sarjana Undang-Undang Komersial dan Sarjana Undang-Undang Korporat, manakala SQS pula sebanyak tiga program terlibat iaitu Sarjana Sains (Sains Pemutusan), Sarjana Sains (Matematik) dan Sarjana Sains (Statistik).


Seramai enam Ahli Panel Penilai (APP) dari universiti luar terlibat dalam menilai program akademik UUM pada kali ini iaitu Prof. Dr. Farid Sufian Shuaib (UIA), Prof. Datin Dr. Faridah Jalil (UKM), Prof. Dr. Suzeini Abd. Halim (UM), Prof. Dr. Ahmad Izani Md. Ismail (USM), Prof. Madya Dr. Ruzian Markom (UKM) dan Dr. Mazlynda Md Yusuf (USIM).


Pengarah Unit Swaakreditasi Universiti, Prof. Madya Dr. Mohd. Haniff Jedin berkata, kesemua APP yang dilantik telah menjalankan tugas dengan penuh akauntabiliti dan gigih dalam menyemak dokumen COPPA dan berinteraksi secara temuramah kepada semua penjawat, tenaga akademik, pelajar dan pentadbiran.


Pada masa sama, Awang Had Salleh Graduate School (AHSGS) dan Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) juga turut terlibat secara tidak langsung. APP juga berpeluang melawat kemudahan prasarana UUM seperti Perpustakaan Sultanah Bahiyah, pejabat pasca siswazah melalui program lintas langsung (live streaming).


Dr. Mohd Haniff berkata, terdapat banyak lagi program pasca siswazah yang akan menjalani program Audit Pematuhan yang telah diatur dan berharap semua Pusat Pengajian telah bersedia untuk menghadapi audit seterusnya.