All News

NAIB CANSELOR MAHU PASUKAN ADVOKASI UUM BERTANDING DENGAN PASUKAN UNIVERSITI TERSOHOR

NAIB CANSELOR MAHU PASUKAN ADVOKASI UUM BERTANDING DENGAN PASUKAN UNIVERSITI TERSOHOR

UUM ONLINE: Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani mahu pasukan Advokasi dan Mut UUM mengadakan pertandingan persahabatan dengan pasukan dari universiti tersohor dunia seperti pasukan dari Singaporean Management University dan Universitas Indonesia bagi meningkatkan semangat mereka.

Hasrat Naib Canselor ini dinyatakan semasa perjumpaan bersemuka bersama empat pelajar dari Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) yang mengharumkan nama UUM apabila dinobatkan sebagai johan The 17th International Humanitarian Law Moot Court Competition 2020 National Rounds baru-baru ini.

Pasukan Advokasi dan Mut UUM terdiri Lau Jeng Chee, Divyaanjali a/p Loganathan, Dayana Batrisya Mohamed Nasir dan Ashwaty Ashley berjaya merangkul gelaran johan yang mana turut menyaksikan Ashwaty Ashley dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik dalam pertandingan tersebut yang diadakan secara atas talian.

Dengan kemenangan itu, Pasukan Advokasi dan Mut telah mengekalkan kejuaraan selama dua tahun berturut-turut dalam pertandingan anjuran bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pertubuhan Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Dalam pertemuan itu, Naib Canselor berkata, beliau dan seluruh warga universiti berbangga di atas kejayaan yang mengharumkan nama universiti kerana berjaya mengalahkan universiti awam yang lebih hebat.

Menurutnya, teruskan berlatih dengan lebih gigih untuk memenangi pertandingan di Hong Kong nanti dan tunjukkan saingan sengit kepada pesaing dari universiti lain yang lebih tersohor di rantau Asia Pasifik.

“Saya berharap Pasukan Advokasi dan Mut yang akan mewakili Malaysia di peringkat Asia Pasifik nanti dapat memenangi pertandingan tersebut yang dijadual berlangsung pada bulan Mac depan,” katanya.

Selain itu, Naib Canselor turut menegaskan keperluan Pasukan Advokasi dan Mut untuk mengadakan pertandingan persahabatan dengan pasukan dari universiti tersohor dunia seperti pasukan di Singaporean Management University di Singapura dan Universitas Indonesia di Indonesia.

Katanya, pertandingan persahabatan ini boleh memberikan semangat untuk meneruskan legasi kemenangan UUM, di samping menjadi satu rangkaian dan jambatan dalam melaksanakan MoU yang ditandatangani bersama oleh UUM dan universiti-universiti terbabit.

Turut serta, Dekan, Pusat Pengajian Undang-Undang, Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman dan Muhammad Hafiz Badarulzaman dari Unit Debat, Jabatan Hal Ehwal Pelajar serta alumni Undang-undang yang juga jurulatih bagi pasukan Advokasi dan Mut UUM, Joshua Teh Hong Guan secara atas talian.