All News

GIATKAN AKTIVITI INOVASI DAN PENGKOMERSIALAN HASIL PENYELIDIKAN

giatkan aktiviti inovasi

UUM ONLINE: Peranan universiti telah berkembang daripada tanggungjawab tradisional yang menumpu kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran kepada pendekatan ‘quadruple helix’.

‘Quadruple helix’ merujuk kepada kolaborasi di antara akademia, industri, kerajaan dan masyarakat setempat bagi menggalakkan aktiviti inovasi dan pengkomersialan melalui hasil penyelidikan yang dijalankan di universiti yang melibatkan rantaian penyelidikan bermula daripada idea yang dicanai dalam kertas cadangan kepada menghasilkan penerbitan berimpak dan produk atau proses yang berpotensi untuk dikomersialkan dan dilindungi sebagai harta intelek.

Menyedari kepentingan ini, Jawatankuasa Penjanaan dan Pengkomersilan, Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), menganjurkan program bual bicara secara atas talian melalui aplikasi Webex dan FB Live bertajuk 'Bicara Inovasi dan Pengkomersialan Hasil Penyelidikan' yang menampilkan dua panelis iaitu Timbalan Pengarah Tugas-tugas Khas, Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi (RIMC), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar dan Timbalan Pengarah, Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed bersama Prof. Madya Dr. Alias Azhar selaku moderator.

Dr. Faizal menjelaskan bahawa penilaian terhadap hasil penyelidikan universiti ini dibuat melalui Pencapaian Pelan Strategik yang dinilai pada setiap suku tahun bagi mengukur pencapaian universiti terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Menurutnya, sebelum ini, kebanyakan universiti menekankan penghasilan penyelidikan dalam bentuk penerbitan semata-mata, namun berbeza dengan UUM yang mana sehingga kini telah berjaya mencapai ke peringkat 5 bintang dalam pencapaian prestasi (ranking) MyRA (Malaysian Research Assessment Instrument) bagi kategori penyelidikan.

Namun, katanya, ekosistem penyelidikan tidak hanya terhad kepada penerbitan, malah turut menggalakkan aktiviti inovasi dan pengkomersialan hasil penyelidikan yang dibangunkan oleh warga universiti yang boleh memberi impak kepada masyarakat.

“Universiti yang berteraskan bidang sains sosial juga boleh menyemarakkan aktiviti inovasi ini melalui usaha kolaborasi di antara pusat pengajian dalam UUM sendiri.

“Gabungan kepakaran yang berbeza bidang (transdisciplinary) ini akan dapat membantu dalam menghasilkan produk atau servis yang lebih berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Dr. Khadijah pula menjelaskan hubungan rapat di antara inovasi dan harta intelek dalam memacu pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti pengkomersialan hasil penyelidikan yang berkualiti, memenuhi kehendak pengguna dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran semasa.

“Secara umumnya, harta intelek merujuk kepada perlindungan hak yang diberikan oleh undang-undang terhadap hasil keintelektualan manusia. Terdapat dua kategori utama harta intelek iaitu hak cipta yang melindungi karya berasaskan kesusasteraan dan harta industri yang terdiri daripada paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi dan reka bentuk susun atur litar bersepadu.

“Walaupun karya hak cipta dilindungi secara automatik tanpa perlu didaftarkan, namun apabila memenuhi syarat yang ditetapkan undang-undang, para penyelidik disarankan membuat pendaftaran hak cipta secara sukarela melalui ICC agar karya hak cipta mereka dilindungi, dikenali, seterusnya membantu UUM dalam mencapai KPI bagi kategori inovasi dan harta intelek.

“Terdapat juga jenis harta intelek yang walaupun tidak diperuntukkan secara khusus di dalam statut seperti hakcipta dan harta industri, ia tetap dilindungi oleh undang-undang di bawah prinsip ‘common law’ seperti rahsia perdagangan (‘trade secret’) dan ‘tort of passing off’ bagi jenis cap dagangan yang tidak didaftarkan,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun aktiviti pengkomersialan itu perlu memenuhi kehendak dan syarat yang diperuntukkan oleh undang-undang berkaitan serta polisi dan dasar pengkomersialan harta intelek yang sedang berkuatkuasa.