All News

MAJLIS KONVOKESYEN SUDAH BERAKHIR, JANGAN LUPAKAN ALMA MATER

majlis konvokesyen sudah berakhir

UUM ONLINE: Jangan lupakan alma mater walaupun Majlis Konvokesyen Ke-32 UUM yang berlangsung selama lima hari mulai 19 Oktober sudah melabuhkan tirainya pada petang 23 Oktober lalu, diikuti Pesta Konvokesyen pada sebelah malam.

Setelah berhempas pulas mengerah tenaga, wang dan masa mengejar ilmu, penantian 5,757 graduan berakhir dengan kenangan terindah apabila masing-masing berjaya menggenggam segulung ijazah yang pastinya membanggakan ibu bapa dan tenaga pengajar.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka yang telah berkorban selama ini terutamanya graduan apabila usaha gigih selama empat tahun akhirnya ternyata tidak sia-sia.

Antara yang menarik sepanjang majlis konvokesyen kali ini menyaksikan penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Nur Athirah Rushami Zien yang mula 'viral' kerana bukan sahaja pintar dengan mendapat PMK 3.99, malah cantik seperti yang dipuji netizen termasuk artis dan ahli perniagaan berjaya, Neelofa dalam laman sosialnya.

Selain itu, Majlis Konvokesyen Ke-32 telah mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Korporat) kepada Pengarah KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Perniagaan Antarabangsa) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Chong Motor Holdings Berhad, Dato’ Khor Swee Wah @ Koh Bee Leng.

UUM juga tidak melupakan sumbangan dua profesor apabila menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Penolong Naib Canselor (Keusahawanan & Kelestarian Kewangan), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dato’ Wira Dr. Mohd. Salleh Din dan Dekan Sekolah Perniagaan dan Sains Sosial (SBSS), AlBukhary International University (AIU), Prof. Dato’ Dr. Jamalludin Sulaiman.

Dalam meraikan kegembiraan graduan pada hari bersejarah itu, sudah pasti ada antaranya yang terkenang saat-saat kesukaran atau kesusahan yang harus diharungi sebelum melangkah penuh bangga di atas pentas Dewan Mu'adzam Shah itu.

Antaranya, anak bekas pemandu bas mini sanggup berjauhan dari keluarga di Indonesia selama 12 tahun demi mengejar cita-cita sebagai seorang pendidik yang mana akhirnya Etri Ernovianti menitiskan air mata apabila berjaya menamatkan pengajian dengan menerima ijazah Doktor Falsafah (Kewangan dan Perbankan). Beliau juga merupakan lulusan Sarjana Muda Perbankan dan Sarjana Perbankan dari UUM.

Selain itu, ada juga graduan yang datang jauh dari Johor menaiki bas bersama keluarga sehari sebelum sesi bermula kerana tidak mahu melepaskan hari bersejarah itu dan ada juga yang berkerusi roda menerima ijazah, seterusnya memberi inspirasi kepada semua yang menyaksikan.

Tidak dilupakan kegigihan staf UUM yang mengorbankan masa untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana muda dan sarjana, meskipun sibuk dengan tugas hakiki tetapi ia tidak pernah menjadi alasan atau penghalang kepada mereka untuk berjaya. Kesungguhan dan komitmen tinggi yang wajar dijadikan sebagai contoh kepada semua.

Majlis Konvokesyen Ke-32 UUM bukan sahaja meraikan graduan, tetapi juga pelajar dan masyarakat setempat dengan menganjurkan Pesta Konvokesyen (PESKON) yang mana ia menjadi platform kepada peniaga untuk menjual produk mereka kepada pengunjung.

PESKON anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dan MPP itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti berbentuk akademik, keusahawanan, kebudayaan dan kesenian, sukan dan rekreasi, kerohanian serta pameran dengan jumlah lot jualan termasuk lot jualan pelajar.

Antara acara diadakan ialah program End Game Run, Mobile Legend Tournament, I Can See Your Tilawah, Si Cilik Berbakat, Cupcake Story, Busking Competition, Pidato Millenial dan Mascot Runaway.

UUM turut mengadakan program Malam Kerohanian yang dihadiri oleh penceramah Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias dan persembahan kebudayaan serta hiburan bersama artis terkenal seperti Awie, Raihan, Ella, Maya Karin, artis-artis Warner Music dan Sony Music.

Majlis utama universiti ini sudah pasti tidak dapat berjalan lancar sekiranya tiada kerja keras warga UUM yang bertungkus-lumus untuk menjayakan Majlis Konvokesyen 2019 ini. Syabas dan tahniah di atas pengorbanan dan usaha diberikan.

Semoga bertemu kembali pada Majlis Konvokesyen Ke-33 tahun hadapan dengan lebih gemilang!