All News

PENERIMA ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA TEROKA DUNIA BAHARU

penerima anugerah pelajaran diraja teroka dunia baharu

UUM ONLINE: Terus mengekalkan prestasi cemerlang dengan Purata Nilai Gred (GPA) 4.00 selama tujuh semester berturut-turut, selain aktif menyertai aktiviti kampus, Nur Athirah Rushami Zien mencipta momen terindah apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Ke-32 UUM, semalam.

Walaupun telah melangkah alam pekerjaan sejak beberapa bulan lalu sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan, sudah pasti banyak pengalaman menarik yang ditimba graduan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang Dan Perniagaan (BPLB) itu.

“Setiap hari, saya belajar perkara baru bukan hanya terlibat dengan pelbagai projek menarik, malah berpeluang belajar kemahiran untuk berurusan dengan pelbagai pihak sama ada pelanggan, pihak atasan atau pasukan operasi.

“Walaupun belajar dalam bidang berbeza, ilmu dan pengalaman sepanjang belajar itu mematangkan cara berfikir jadi, bila diletakkan dalam apa jua bidang sekalipun, Insya-Allah boleh buat dengan baik, tambahan pula dapat rakan sekerja berbilang kaum serta berada dalam suasana kerja yang menyeronokkan,” katanya.

Nur Athirah berkata, memilih program BPLB di UUM merupakan antara keputusan terbaik dalam hidupnya, sekali gus mengubah diri dan cara berfikir.

Menurutnya, melalui subjek Falsafah khususnya telah melatihnya untuk melihat sesuatu perkara dari pelbagai sudut dan lebih terbuka dalam membuat sesuatu penilaian.

Katanya, sistem pendidikan di UUM juga berjaya melatih kepimpinan dan kemahiran ketika membuat pembentangan.

“Pelajar BPLB berada dalam kelompok kecil yang dilatih untuk bersoal jawab sebanyak mungkin dan secara spontan, pada mulanya amat sukar sehingga pernah berfikir untuk bertukar bidang tetapi kami semua berjaya mengharunginya.

“Saya tiada sebarang tips atau cara belajar yang berbeza daripada orang lain tetapi bagi saya cara paling berkesan ialah mencatat apa sahaja yang disampaikan oleh pensyarah di dalam kelas dan saya bersyukur kerana dikurniakan persekitaran kondusif dan saling membantu kerana kami bukan sahaja beraktiviti, bermain dan berhibur bersama, tetapi kami juga saling menyokong ke arah kecemerlangan akademik,” katanya yang menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.99.

Nur Athirah memulakan pengajian di UUM sebagai pelajar Program Asasi Pengurusan pada 2014 sebelum mengikuti program BPLB dengan prestasi cemerlang berkat restu bapa, Prof. Dr. Rushami Zien Yusoff yang merupakan profesor di UUM COB dan ibu, Zaini Yusoff.

Dengan keputusan cemerlang yang dicapai, beliau terpilih sebagai penerima Biasiswa Majlis Raja-Raja pada tahun kedua.

Beliau turut bergiat aktif sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (THINKERS) selain menyertai pelbagai aktiviti di peringkat universiti, nasional dan antarabangsa.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Loh Mei Chwin berkongsi petua kejayaannya yang sentiasa memberikan sepenuh perhatian di dalam kelas ketika pensyarah sedang mengajar.

“Saya cuba menjawab soalan yang dilontarkan oleh pensyarah, kemudian saya akan mengulang kaji untuk menambahkan kefahaman tentang teori yang diajar selain membuat latihan soalan peperiksaan tahun lepas.

“Saya berterima kasih kepada pensyarah UUM yang berdedikasi dan bertanggungjawab dalam meyampaikan ilmu, malah silibus juga diubahsuai dari semasa ke semasa sebagai persediaan memasuki dunia pekerjaan.

“Contohnya, pelajar dikehendaki membuat pembentangan yang membantu meningkatkan kemahiran dalam mempersembahkan idea sendiri dan meningkatkan keyakinan diri, di samping mengadakan pelbagai aktiviti untuk mengasah kemahiran insaniah pelajar,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang akauntan.

Dengan dorongan kuat yang diberikan oleh ibunya, P’ng Joo Wah, beliau berjaya mendapat anugerah Dekan pada setiap semester dan menamatkan pengajian dengan mendapat CGPA 3.97 selain turut terlibat aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Beliau kini sedang mempersiapkan diri untuk menduduki peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), badan perakaunan profesional antarabangsa.