All News

FORUM BERSAMA ALUMNI RAPATKAN HUBUNGAN BAIK SOL DAN ALUMNI

FORUM BERSAMA ALUMNI RAPATKAN HUBUNGAN BAIK SOL DAN ALUMNI

SoL Online: Pusat Pengajian Undang-undang (SoL) telah menganjurkan Discourse in Legal Profession: Insights from Alumni pada 29 September 2019 bertempat di EDC Hotels & Resorts, UUM. Alumni yang dijemput ialah Tuan Khairil Anuar Bin Azmi, Peguam di Tetuan Manjit Sachdev, Mohammad Radzi, & Partners; Puan Tunku Intan Mahiya Tunku Mahamad, Peguam di Tetuan Tunku Intan & Associates Advocates & Solicitors dan Puan Nurul Asyikin Kamsi yang berkhidmat sebagai Pegawai Undang-undang di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kedah.

Dekan Pusat Pengajian Undang-undang, Dr. Rohana Abdul Rahman dalam ucapannya semasa merasmikan forum tersebut mengucapkan terima kasih kepada semua alumni yang sudi hadir walaupun sibuk dalam kerjaya masing-masing. Beliau berkata objektif utama forum ini adalah untuk menyediakan platform penglibatan dan kerjasama antara Pusat Pengajian Undang-undang bersama semua Alumni.

Dalam ucapan Dekan SoL, sehingga kini Pusat Pengajian Undang-undang mempunyai lebih kurang 1000 orang alumni di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta dari Nigeria dan Yaman. Mereka ini telah berkhidmat di pelbagai sektor seperti menjadi pengamal undang-undang di firma guaman, menjadi penasihat Undang-undang di sektor awam dan swasta serta terdapat juga alumni yang terlibat dalam bidang akademik.

Sepanjang forum ini berlangsung, para alumni berkongsi pengalaman kerjaya masing-masing dan juga bercerita suka duka sepanjang pengajian mereka di UUM pada ketika itu. Semua pelajar sangat teruja mendengar perkongsian ketiga-tiga alumni. Forum ini dikendalikan oleh moderator iaitu Prof. Dr. Rusniah Ahmad.

SoL berharap forum ini dapat memberi manfaat dan panduan kepada para pelajar untuk mencapai cita-cita mereka dalam bidang perundangan. Selain itu, forum ini juga diharapkan dapat mewujudkan hubungan yang baik antara SoL dan alumni demi kepentingan masa hadapan pelajar SoL.

Sekian.