All News

PELAJAR BAHARU SOL SEMESTER A191 TERUJA PERKONGSIAN ALUMNI DAN SAMBUT MERDEKA

palajar baharu sol semester A191 teruja perkongsian alumni dan sambut merdeka

SoL Online: Seramai 92 orang pelajar Sarjana Muda Undang-undang Dengan Kepujian [(LL.B) Hons] dan seramai 24 orang pelajar daripada program Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan, telah mendaftar sebagai pelajar di Pusat Pengajian Undang-undang (SoL).

Satu Sesi Taklimat Pelajar Baru Semester Pertama Sesi 2019/2020 A191 telah diadakan pada 4 September 2019. Dekan Pusat Pengajian Undang-undang, Dr. Rohana Abdul Rahman merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada semua pelajar baharu ke UUM. Beliau menasihati semua pelajar agar menanam semangat dan keazaman untuk belajar bersungguh-sungguh di UUM. “Kamu semua adalah orang yang terpilih dan bertuah untuk menyambung pengajian di UUM dan jangan mensia-siakan peluang tersebut” ujar Dekan lagi.

Beliau juga berharap semua pelajar tersebut dapat menjadi graduan yang paling berketerampilan dan tidak akan mengecewakan ibu bapa mereka. Semasa sesi taklimat tersebut para pensyarah SoL juga tidak melepaskan peluang untuk memberi nasihat kepada para pelajar agar menjaga adap dan akhlak semasa menuntut ilmu sepanjang berada di UUM.

Selain taklimat daripada Dekan SoL, Penyelaras Program LL.B, Dr. Nor Azlina Mohd Noor dan Penyelaras Program BPLB, Dr. Ain’ Husna Mohd Arshad juga telah menyampaikan taklimat akademik program masing-masing kepada para pelajar.

Pada sebelah petang pula sesi bersama Alumni telah diadakan bersama para pelajar. Semasa sesi tersebut dua orang Alumni UUM iaitu Encik Thevan A/L Raman dari program LL.B dan Cik Siti Nurkhalilah Liana Shieakh Malik dari program BPLB telah berkongsi pengalaman sepanjang pengajian di UUM serta kerjaya mereka sekarang.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan yang ke-62 tahun, SoL telah meraikannya bersama-sama para pelajar baharu. Semua hadirin telah dijemput untuk menyanyikan lagu kemerdekaan iaitu “Warisan” dan “Keranamu Malaysia” sambil mengibarkan jalur gemilang. Diharapkan sambutan tersebut dapat memupuk semangat cintakan negara oleh semua pelajar tersebut.

Sekian, terima kasih.