All News

DIDIK MASYARAKAT CELIK UNDANG-UNDANG

didik masyarakat celik undang undang

UUM ONLINE: Karnival Perundangan Malaysia 2019 peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Kompleks City Plaza, Alor Setar memberi kesedaran kepada orang ramai tentang undang-undang di Malaysia.

Dekan Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), Dr. Rohana Abdul Rahman berkata, pihaknya teruja apabila dijemput oleh Parlimen Alor Setar untuk menjayakan karnival yang sarat dengan pengisian bermanfaat.

“Objektif karnival ini adalah untuk memberi pemahaman kepada orang ramai tentang undang-undang, hak dan tanggungjawab masyarakat mengamalkan undang-undang yang sewajarnya supaya mereka celik undang-undang,” jelasnya dalam program yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai.

Program ini menyaksikan penyampaian ceramah oleh Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Undang-undang, Roos Niza Mohd Shariff bertajuk Wanita dan keluarga: Keganasan rumah tangga, mana nak mengadu?

Sejurus selepas itu, Prof. Madya Dr. Zuryati Mohd Yusoff mengambil tempat untuk menerangkan tajuk Pendidikan Undang-undang di Malaysia diikuti Ketua Polis Balai Alor Setar, Pegawai Penyiasat Komersil IPD Kota Setar, Jabatan Bantuan Guaman, Badan Peguam Kedah dan JobsMalaysia.

Pada majlis sama, SoL turut mempromosikan program akademik selain Pusat Bantuan Guaman SoL memberi khidmat nasihat percuma kepada orang ramai.

Karnival sehari itu dimeriahkan dengan kunjungan orang ramai membanjiri Kompleks City Plaza yang berbaris panjang untuk membayar saman kesalahan jalan raya dengan diskaun istimewa pada hari tersebut.