All News

KUNJUNGAN HORMAT JALIN KERJASAMA SOL DAN BADAN PEGUAM KEDAH

kunjungan hormat jalin kerjasama sol dan badan peguam kedah

SOL Online: Kunjungan hormat pihak Pengurusan SoL ke Pejabat Badan Peguam Kedah di Alor Setar diketuai oleh Dekan, Rohana Abdul Rahman pada petang 24 Julai 2019 menjadi titik tolak untuk merapatkan lagi hubungan kerjasama yang telah terjalin sebelum ini di antara Pusat Pengajian Undang-undang dan Badan Peguam Kedah Alor Setar.

Kunjungan hormat ini disambut mesra oleh Pengerusi Badan Peguam Kedah, Puan Nazliyah Mansor dan jawatan kuasa yang turut sama beramah mesra dan berbincang mengenai program dan aktiviti berbentuk akademik dan bukan akademik yang boleh dilaksanakan untuk manfaat dan faedah bersama.

Antara perbincangan adalah mengenai seminar Perundangan 3 penjuru di antara UUM, Badan Peguam Kedah dan Mahkamah Tinggi Alor Setar. Pengamal Undang-undang juga dijemput berkongsi pengalaman dan membuat penulisan bersama staf SoL. Mereka juga boleh mengendalikan kuliah kepada para pelajar Undang-undang dalam bidang kepakaran masing-masing.

Selain itu, aktiviti santai dan riadah juga dibincangkan bagi merapatkan hubungan silaturrahim di antara staf SoL dan Badan Peguam Kedah. Disamping itu perkongsian maklumat dan permasalahan pelajar Undang-undang UUM yang sedang menjalani Latihan Industri dan Chambering turut dibincangkan.

Dekan SoL berharap kerjasama ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat dan merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Badan Peguam Kedah atas masa yang diluangkan pada petang tadi.

Tamat.