All News

TRAVELOG GENEVA, SWITZERLAND

K.jah

UUM ONLINE: Lebih 40 pakar daripada World Intellectual Property Organization (WIPO), World Trade Organization (WTO) serta pelbagai organisasi membincangkan isu harta intelek sempena WIPO-WTO Colloquium for IP Teachers 2019, di Geneva, Switzerland baru-baru ini.

Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed, pensyarah di Pusat Pengajian Undang-undang (SoL) antara 27 peserta dari pelbagai negara yang terpilih daripada 180 permohonan untuk menjalani latihan intensif harta intelek selama dua minggu.

Geneva terletak di hujung barat daya Tasik Geneva dan dikelilingi tiga banjaran gunung, Jura, Vuache dan Salève. Ketika cuaca cerah, gunung Mont Blanc, gunung tertinggi di banjaran Alps yang terletak di sempadan Perancis dan Itali, boleh dilihat secara jelas dari bandar Geneva.

Geneva merupakan bandar global, pusat kewangan dan pusat antarabangsa diplomatik dengan adanya badan-badan antarabangsa, termasuklah ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Majoriti penduduknya bertutur dalam bahasa Perancis di samping tiga bahasa pertuturan lain iaitu Jerman, Itali dan Rhaeto Rominic dan tiada masalah bagi pengunjung luar untuk berkomunikasi kerana hampir semua penduduk boleh bertutur Bahasa Inggeris.

Terdapat di kalangan penduduk yang masih terlibat dengan tradisi lama pembuatan jam dan coklat Swiss di bandar Geneva yang sangat bersih, tradisi dan budaya yang unik menjadikan terlalu banyak yang boleh dipelajari di situ untuk diamalkan dalam kehidupan.

“Antara yang menarik untuk dikongsi ialah cara hidup dan bekerja, ketepatan masa, disiplin diri, sikap menghormati orang lain, perkhidmatan awam yang cekap seperti dalam sektor pengangkutan awam dan perkhidmatan bank,” katanya.

Bercerita lanjut, kolokium itu dianjurkan bersama oleh WIPO dan WTO, iaitu agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang melibatkan peserta dari seluruh dunia.

Antaranya Australia, Amerika, Bangladesh, Brazil, Burkina Faso, China, Colombia, Ethiopia, India, Iran, Jordan, Kenya, Korea, Liberia, Malawi, Mexico, Nigeria, Peru, Rusia, Saudi Arabia, Serbia, St. Vincent and the Grenadines, Tanzania, Ukraine, Uzbekistan dan Vietnam.

Majlis pembukaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah WIPO, Mario Matus dan Timbalan Ketua Pengarah WTO, Xiaozhun Yi yang membincangkan dari segi perundangan, isu dan cabaran utama yang dihadapi oleh undang-undang dan dasar harta intelek pada masa kini.

Ujarnya, kolokium ini bertujuan memperkasakan keupayaan universiti untuk membangunkan kepakaran dalam bidang harta intelek agar dapat menyumbang dalam penyediaan dasar yang melibatkan perbincangan semasa di WIPO dan WTO.

“Kolokium ini menjadi medan pertukaran maklumat praktikal mengenai pengalaman nasional atau serantau yang relevan antara akademia universiti dengan kedua-dua agensi berkenaan. Penekanan turut diberikan supaya dapat membangunkan strategi praktikal dalam memperbaiki kaedah (metodologi) pengajaran oleh peserta.

“Program ini amat bermanfaat kerana peserta didedahkan dengan pelbagai dasar harta intelek dan isu perundangan yang relevan dibincangkan seperti kesihatan awam, e-dagang, bioteknologi, kecerdasan buatan dan rantaian blok serta isu pengkomersilan,” jelasnya yang juga Timbalan Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC), UUM.

Beliau turut membentangkan tajuk The Interface between IP and Competition Policy: Malaysian Legal Development.

“Saya membincangkan hubungan antara dua undang-undang yang secara umumnya bertentangan antara satu sama lain. Undang-undang harta intelek bertujuan menggalakan pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti inovasi melalui pemberian hak eksklusif kepada pencipta harta intelek untuk mengeksploitasi harta intelek mereka”.

“Hak eksklusif ini kadangkala menimbulkan isu monopoli oleh pemilik harta intelek dan boleh menyebabkan kenaikan harga yang tinggi kepada sesuatu produk atau perkhidmatan. Pengguna dalam keadaan ini tidak mempunyai pilihan kerana produk atau perkhidmatan tersebut tidak ditawarkan oleh pihak lain.

“Undang-undang persaingan pula bertujuan untuk menggalakan aktiviti inovasi melalui larangan monopoli dan aktiviti anti-persaingan supaya pengguna dapat menikmati sesuatu produk atau perkhidmatan dengan harga terbaik melalui aktiviti perniagaan yang bersifat adil dan kompetitif,” ujarnya.

Namun tambahnya, larangan monopoli ini seolah-olah bertentangan dengan pemberian hak ekslusif kepada pencipta harta intelek. Sehubungan itu, Suruhanjaya Persaingan Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan Harta Intelek dan Persaingan pada 29 April 2019 serta menggariskan 20 situasi yang melibatkan isu harta intelek dalam konteks undang-undang persaingan di Malaysia.

Untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai isu harta intelek, peserta berpeluang ke ibu pejabat Nestle di Vevey yang terlerak di pinggir Tasik Geneva dalam kanton Vaud sambil berinteraksi dengan kumpulan pengurusan harta intelek Nestle.

Di sini, peserta menyingkap sejarah awal Nestle bermula pada kurun ke-18 dan berkembang sehingga mempunyai lebih 400 kilang di lebih 80 negara di seluruh dunia.

Penerangan diberikan tentang proses bagaimana sesuatu produk dihasilkan, daripada penyelidikan awal, penentuan jenama seterusnya pemasaran produk, bagaimana Nestle menentukan sesuatu produk itu perlu dilindungi harta intelek sama ada melalui paten, cap dagangan, rekabentuk, hakcipta termasuklah produk yang tidak didaftarkan harta intelek.

Kesemua produk Nestle dipamerkan di Galeri Nestle termasuk mesin kopi keluaran Nestle seperti Nescafe, Nespresso, Starbucks di sepanjang galeri dan pengunjung boleh menikmati aneka kopi dan coklat yang dihasilkan di Nestle Switzerland.

“Hasil daripada kolokium ini, saya mendapat maklumat terkini berkaitan undang-undang substantif harta intelek, isu terkini tentang teknologi dan bagaimana ia berkaitan dengan hala tuju undang-undang harta intelek pada masa hadapan serta cabaran yang mungkin timbul kepada pembuat dasar dalam menangani isu ini,” tambahnya.

Aspek harta intelek yang berkaitan dengan dasar perdagangan melibatkan hubungan diplomasi antara negara juga turut dipelajari.

“Secara keseluruhan, kolokium ini memantapkan pengetahuan dalam undang-undang harta intelek secara horizontal, mengenalpasti aspek harta intelek yang relevan untuk tujuan pengajaran dan penyelidikan serta aspek yang perlu disemak semula terutama yang berkaitan dengan polisi negara dalam hal ehwal perdagangan dan hubungan diplomatik antarabangsa.

“Yang paling penting, dapat menimba ilmu secara terus daripada pakar bidang bertaraf dunia dan membina rangkaian dengan peserta dari negara lain yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam pengajaran dan penyelidikan,” luahnya.

Beliau memanjatkan kesyukuran kepada Allah dan UUM atas segala sokongan yang diberikan kerana berpeluang mengikuti program berimpak tinggi untuk menimba ilmu secara terus daripada pakar bidang bertaraf dunia serta berkongsi maklumat dengan peserta dari negara lain.