All News

'HELPING LIVES BLOOM: PARADISE AWAITS' LAWSOC TINGKAT KESEDARAN AUTISME

Lawsoc

UUM ONLINE: Alor Setar - Bagi meningkatkan kesedaran tentang autisme, Persatuan Mahasiswa Undang-Undang (LAWSOC) telah menganjurkan Majlis Makan Malam ke-12 LAWSOC bertemakan ‘Helping Lives Bloom: Paradise Awaits’ di Dewan Besar Vimal, Jumaat lalu.

Majlis yang turut diadakan bagi meraikan pelajar tahun akhir itu turut diserikan lagi dengan kehadiran Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Yang Arif Dato' Ghazali Cha dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelaajr dan Alumni), Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali.

Dato’ Ghazali dalam ucapan beliau berkata, berada dalam bidang undang-undang ini memerlukan keberanian dan juga sifat keperikemanusiaan.

Menurutnya, majlis makan malam LAWSOC telah memilih tema yang sangat bertepatan sebagai tanda menunjukkan keprihatinan dan bidang undang-undang mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan mereka bagi membantu masyarakat.

“Jawatankuasa penganjur telah berpeluang melihat sendiri keadaan Persatuan Autisme Malaysia (NASOM) bagi memahami kesukaran yang dihadapi yang mana mereka memerlukan sumber dari aspek kewangan, sukarelawan dan peralatan.

“Ini yang telah mendorong LAWSOC untuk bertindak membantu mengadakan kutipan sumbangan bagi memastikan pihal terbabit dapat terus beroperasi dalam usaha membantu golongan autisme ini,” katanya.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Hendrik berkata, semua pelajar tahun akhir itu akan menamatkan pengajian dan bakal menghadapi realiti profesion undang-undang tidak lama lagi.

Menurutnya, beliau berterima kasih kepada semua pelajar yang akan menamatkan pengajian tahun ini (pelajar tahun akhir) dan pensyarah, yang telah mendidik mereka kerana ternyata bahawa graduan UUM telah diterima dengan baik dalam pasaran pekerjaan dan merupakan testimoni kepada kebolehan siswazah universiti untuk bekerja walaupun pada umumnya diketahui bahawa keadaan pasaran saat ini sangat kompetitif.

Pengarah projek, Ahmad Nabhan Harraz Zulkifli berkata, majlis tersebut bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang masalah yang dihadapi kanak-kanak autisme. malah pihaknya juga telah membuat kutipan sumbangan bagi membantu golongan tersebut.

Menurutnya, hasil kutipan yang bermula sejak Februari lalu berjaya mengutip sejumlah RM4,234 dan disalurkan kepada Persatuan Autisme Malaysia (NASOM) yang diwakili Abu Bakar Hashim, Pengarah Kumpulan Sokongan Ibu Bapa dan Guru, NASOM Alor Setar.

“Saya berterima kasih kepada semua warga UUM di atas keprihatinan dalam membantu penghidap autisme dengan menyalurkan sumbangan ini,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Tan Kok Yew.