MoU UUM-UNiSZA PERMULAAN PERJALANAN MELAKAR KEJAYAN DEMI KEJAYAN

uum - unisza

UUM ONLINE: Dalam mendepani cabaran menguruskan universiti bagi melakar kejayaan demi kejayaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) telah menjalinkan kerjasama dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) di Balai Tamu, pagi tadi.

Naib Canselor UUM, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dan Naib Canselor UNiSZA, Prof Dato' Dr Ahmad Zubaidi A Latif mewakili universiti masing-masing menandatangani MoU tersebut di hadapan pegawai-pegawai kanan UUM dan UNiSZA.

Naib Canselor UUM dalam ucapan beliau berkata, pihak universiti bangga apabila dapat menjalinkan kerjasama pertama dengan universiti dari negeri pantai timur yang mana ia adalah satu permulaan perjalanan bagi kedua-dua universiti untuk memanfaatkan bidang tujahan masing-masing.

"UNiSZA mempunyai bidang yang tidak dimiliki UUM seperti Sains dan juga Pengajian Islam secara sepenuhnya, malah saya yakin kedua universiti ini berpotensi besar untuk maju ke hadapan dengan adanya jalinan kerjasama.

"Sekiranya kita meletakkan usaha dan perancangan yang betul, kita boleh mencapai kejayaan yang diimpikan walaupun masing-masing mempunyai fasa cabaran yang harus ditempuhi tetapi setiap cabaran itu adalah bersifat sementara sahaja walaupun memerlukan masa untuk mencapai kejayaan tersebut," katanya.

Tambah beliau lagi, kedua Pusat Pengajian Undang-undang dari UUM dan UNiSZA boleh bekerjasama dengan baik terutama dalam program mobiliti dengan bertukar pengalaman, selain mengadakan aktiviti luar kuliah seperti pertandingan debat, moot court atau sukan.

Ujarnya, menerusi program itu boleh menghimpunkan semua pelajar undang-undang untuk berkampung di satu tempat dengan menjalankan pelbagai aktiviti yang dirancang.

Sementara itu, Naib Canselor UNiSZA, Prof Dato' Dr Ahmad Zubaidi berkata, walaupun UNiSZA akan menyambut ulang tahun penubuhan ke-10 pada tahun ini, universiti itu masih lagi memerlukan tunjuk ajar dari universiti yang sudah lama bertapak dan terkenal seperti UUM.

"Kami memerlukan satu hubungan erat dan kuat untuk berdepan dengan cabaran dunia pada masa hadapan dan saya berharap UUM dapat memberikan kerjasama yang baik kepada UNiSZA supaya kami dapat melangkah maju ke hadapan dan mendepani masalah dengan industri," katanya.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof Dr Noor Azizi Ismail, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan pegawai-pegawai kanan UUM dan UNiSZA.