ANCAMAN BAHARU SERANGAN SIBER

gambar berita 2

UUM ONLINE: “Kecanggihan ICT juga mendedahkan manusia kepada pelbagai ancaman samada serangan siber terhadap sistem rangkaian komputer mahupun ancaman sebaran maklumat tanpa batasan.


 
“Ini bermaksud serangan siber adalah ancaman baharu terhadap keselamatan negara yang sebelum ini hanya tertumpu kepada isu keselamatan tradisi seperti pertahanan fizikal di darat, laut dan udara.
 
Demikian kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim ketika membaca teks ucapan Naib Canselor, pada Seminar Akta Majlis Keselamatan Negara: Ke  Arah Keharmonian Sejagat Rakyat Malaysia di Auditorium SOIS, UUM COLGIS.
 
Isu seperti ini ujarnya telah mendapat perhatian khusus kerajaan apabila Fungsi Teras Pertama yang diberikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN iaitu untuk Mempertahankan Kedaulatan dan Kepentingan Strategik Negara.
 
Fungsi ini merangkumi aspek mempertahankan keutuhan dan kedaulatan wilayah maritim, angkasa, siber serta kepentingan strategik negara melalui kawalan serta pemantauan ke atas zon tersebut daripada dicerobohi,” ulasnya.
 
“Bencana sinonim dengan kejadian yang berlaku secara mengejut dan menyebabkan kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda dan alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat.
 
“Apabila berlakunya bencana, pengurusan yang cekap serta penyelarasan yang berkesan amat perlu untuk menyelesaikan masalah yang timbul misalnya Tragedi keruntuhan Pangsapuri Highland Tower di Hulu Kelang pada 1993 membuka ruang kepada MKN untuk turut sama terlibat dalam pengurusan bencana.
 
“Arahan MKN No. 20 bertarikh 11 Mei 1997 menggariskan  dasar pengurusan dan bantuan bencana serta menentukan peranan serta tanggungjawab agensi yang terlibat semasa bertindak menangani sesuatu kejadian bencana yang berlaku,” terangnya.
 
Dahulunya MKN dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada tahun 1969 menunjukkan bahawa kerajaan amat mengambil serius isu keselamatan yang menjadi nadi kestabilan negara.
 
MKN bertanggungjawab menyelaras dasar berkaitan keselamatan negara dan arahan mengenai langkah keselamatan termasuk ketenteraman awam dan perkara melibatkan keselamatan secara langsung.
 
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Mentor UUM, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim.