ACCESS TO JUSTICE BANTU PENDUDUK PEDALAMAN

hakim sabah dan sarawak

 

UUM ONLINE: 6 Oktober - Kekurangan akses kepada keadilan terutama dalam kalangan penduduk miskin di bandar dan pedalaman menyebabkan mereka yang terlibat dengan jenayah tidak mendapat pengadilan sewajarnya.

Isu yang jarang diberi perhatian telah dibincangkan oleh Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah & Sarawak, Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum sempena Syarahan Profesor Adjung 'Access to Justice: Urban and Rural Poor' anjuran Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen.

“Kita mempunyai undang-undang tetapi pengkhususan di kawasan pedalaman sangat kurang mereka susah nak dapat keadilan.

“Bagi orang yang tinggal di pedalaman, kalau terjadi sesuatu kepada mereka akses untuk mendapat keadilan sangat susah sama ada di mahkamah dan balai polis untuk mereka menyalurkan masalah," katanya.

Jelasnya, kemiskinan melahirkan jenayah, tetapi tidak semua penjenayah perlu dihukum ke penjara dan tidak kembali semula kepada masyarakat.

"Di sinilah sistem keadilan negara perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan program yang memberi peluang kepada masyarakat miskin di bandar dan pedalaman mengenai maksud sebenar keadilan dan hak asasi manusia mereka.

"Tetapi untuk mempunyai sedemikian haruslah bertepatan dengan dengan mereka yang amat memerlukannya,  penduduk muiskin bandar dan pedalaman yang terdedah dan juga kumpulan masyarakat yang terpinggir," ujar beliau

Beliau memerlukan kerjasama ahli akademik yang terlibat dalam bidang ini kerana hasil penyelidikan mereka boleh membantu mengatasi masalah ini.

“Saya berharap pensyarah yang pakar dalam bidang kehakiman dapat bekerjasama dan berfikir secara kritikal menerusi penyelidikan untuk mencari penyelesaian dalam isu yang dibincangkan,” katanya di Dewan Seminar A.

Beliau yang membesar di dalam hutan sangat menjiwai kehidupan bersama alam semulajadi dan mengakui bagaimana menderitanya hidup tanpa pendidikan.

Program yang menghimpunkan 350 peserta di kalangan pelajar dan pensyarah, melibatkan pelajar dalam profesion perundangan bagi mempelajari  isu perundangan seperti Undang-undang alam sekitar yang penting untuk generasi akan datang.

Selain itu beliau turut menyentuh mengenai program Mobile Court dan Mobile Courtroom yang diperkenalkan di Sabah dan Sarawak untuk membantu penduduk miskin di pedalaman, akses alternatif kepada keadilan seperti mediasi dan sistem keadilan tradisional atau penduduk asli.

Sementara itu, siswi Undang-undang, Nur Farahani Ruslan berkata, perkongsian maklumat ini memberi nilai tambah kepada peserta untuk membantu mereka menjadi pengamal undang-undang yang hebat pada masa hadapan.  

 “Program ini menjadi platform untuk kita mendapat input berguna dan berfikir secara kritikal demi masa depan Malaysia yang lebih baik,” tambahnya.

Hadir sama Penolong Naib Canselor (UUM COLGIS), Prof. Madya Dr. Ahmad Bashawir Haji Abdul Ghani; Dekan SoL, Dr. Zainal Amin Ayub dan pegawai-pegawai UUM.