Ke Arah Melonjak Prestasi Penerbitan Kakitangan Akademik Pusat Pengajian Undang-Undang

Pusat Pengajian Undang-Undang mengambil langkah yang drastik untuk meningkatkan penerbitan di bawah Pusat Pengajian Undang-Undang dalam jurnal berprestasi tinggi termasuk ISI THOMSON dan SCOPUS. Program dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) ini telah dikendalikan oleh seorang profesor yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penerbitan iaitu Profesor Dr. Hj. Kamaruzaman Jusoff dari Universiti Putra Malaysia mulai 18 hingga 20 Ogos 2013 bertempat di Bilik Seminar, UUM COLGIS dengan dihadiri seramai 34 orang peserta melibatkan kakitangan akademik Pusat Pengajian Undang-Undang dan beberapa orang pensyarah daripada pusat pengajian lain.

Menurut pandangan peserta yang mengikuti program ini mengatakan bahawa kaedah penyampaian yang diberikan adalah amat meyakinkan mereka untuk membuat penyerahan manuskrip yang lengkap kepada penerbit yang telah dikenalpasti semasa program tersebut dijalankan. Program yang dijalankan secara “hands on” telah memberi ruang dalam berkongsi pengalaman menulis, mengedit dan seterusnya menghantar manuskrip berdasarkan kepada keperluan penerbit jurnal terbabit.

Semasa proses penyerahan manuskrip secara “online” kepada penerbit pada hari terakhir program, sebanyak 15 manuskrip jurnal telah berjaya dihantar secara maya kepada pihak penerbit jurnal sama ada ISI THOMSON atau SCOPUS.